![]() |
| Mohd Hikmal Bolong, 29, didenda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan termasuk melanggar seorang guru ketika joging, Jun lalu. |
TAWAU : Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM11,000 terhadap seorang pemandu trak pikap selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan termasuk memandu secara cuai sehingga melanggar seorang guru lelaki yang sedang berjoging dan menyebabkan kecederaan serius, Jun lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hikmal Bolong, 29, sejurus tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tertuduh didenda RM8,000 kerana memandu secara cuai dan tanpa kecermatan sehingga menyebabkan kemalangan terhadap mangsa berusia 33 tahun di bahu jalan Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 3.55 pagi pada 7 Jun lalu.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan otak traumatik ringan dengan pendarahan dalam tengkorak, luka di belakang kepala, kecederaan hati, patah tulang rusuk serta luka parah pada kaki kanan.
Selain itu, mahkamah turut menjatuhkan denda RM1,000 masing-masing bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 52(1) kerana gagal berhenti di tempat kejadian dan Seksyen 52(2) kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam.
Tertuduh juga didenda RM500 masing-masing bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan Seksyen 90(1) akta sama kerana tidak mempunyai perlindungan polisi insurans.
Mohd Hikmal membayar kesemua denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Syahlan Jufri.
Pada 9 Jun lalu, media melaporkan mangsa bersama kira-kira 20 rakan sedang berjoging dari sebuah restoran makanan segera menuju ke Bandar Seri Indah sebelum dirempuh sebuah trak pikap dari arah belakang dan tercampak ke dalam parit konkrit di bahu jalan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis berhampiran lokasi kejadian kemudiannya tular di media sosial sebelum tertuduh tampil menyerah diri di balai polis keesokan harinya.
