Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025: Durian harga ladang tarik pelancong dan peminat raja buah



KOTA KINABALU: Pelancong dan penduduk tempatan kini boleh menikmati durian dengan harga ladang tanpa orang tengah di Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025 yang berlangsung di Segama Waterfront, Kota Kinabalu sejak 12 Disember lalu.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata harga durian Musang King hanya dijual pada RM55 hingga RM65 sekilogram, berbanding harga pasaran biasa yang mencecah RM80.

“Dimana konsepnya daripada kebun terus kepada pengguna, tidak ada orang tengah.

“Konsep ini bukan untuk bersaing dengan peniaga sedia ada, sebaliknya memastikan pemilik ladang mendapat hasil mereka dan rakyat pula menikmati harga yang lebih baik.

“Kita sebenarnya ada satu kawasan yang menjual durian sejak sekian lama, berpuluh tahun dan saya diberi kepahaman, walaupun acara ini dibuat semalam di sini, tapi kawasan jualan sana juga habis jualan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Bazar Durian tahun ini yang bertempat di D’King Segama Waterfront, di sini, hari ini.

Menurut beliau, selain harga yang berpatutan, bazar durian ini juga mempromosikan agropelancongan Sabah menerusi risalah Sabah Agro Tourism Edisi Kedua menampilkan 30 kebun yang melibatkan pengusaha durian dan buah tropika dari lokasi seperti Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom dan Tawau.

“Melalui program ini, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati durian unik Sabah seperti pulu, dalit dan sukang, tetapi juga merasai pengalaman agro pelancongan yang autentik,” ujar beliau.

Bazar Pelancongan Durian Sabah tahun ini telah menampilkan 55 gerai termasuk jualan minuman, makanan dan produk berasaskan buah-buahan tempatan yang diyakini dapat meningkatkan pendapatan komuniti tempatan, sambil mengekalkan standard kualiti buah dan kebersihan persekitaran yang tinggi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama