20 saman, lima kenderaan disita dalam Op Samseng Jalanan

LAHAD DATU: Susulan banyak aduan orang awam mengenai aktiviti lumba haram dan samseng jalanan, Polis Daerah Lahad Datu melancarkan Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang menyaksikan 20 saman dikeluarkan dan lima kenderaan disita, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata operasi yang dijalankan dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi itu bertujuan membanteras kegiatan berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan seramai 12 pegawai dan anggota daripada pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan tumpuan di beberapa lokasi panas sekitar bandar.

“Antara kawasan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos serta ubah suai struktur peralatan kenderaan.

“Dalam operasi ini, polis turut menyita sebuah motokar dan empat motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Selain itu, seramai 18 individu dan 14 kenderaan diperiksa, manakala empat sesi advokasi keselamatan jalan raya turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.

Dzulbaharin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi keselamatan bersama,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama