KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Ewon Benedick, memuji komitmen SBH Kibing New Solar Energy dalam mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan apabila lebih 84 peratus pekerjanya terdiri daripada anak Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kilang syarikat itu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), bagi meninjau operasi, prestasi semasa serta pelan pengembangan Kibing yang merupakan antara pelaburan perindustrian utama di negeri ini.
“Saya berbangga dengan pencapaian Kibing serta inisiatif yang mereka jayakan termasuk mengambil lebih 84 peratus pekerja dari kalangan rakyat Sabah dan usaha untuk terus meningkatkan peratusan itu pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menghargai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kibing kepada masyarakat setempat, yang menurutnya menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri.
Pada masa sama, Ewon menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar yang bukan sahaja memberi kesan kepada operasi Kibing, malah turut melibatkan pemain industri lain di Sabah.
“Saya mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa langkah proaktif akan diambil dengan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan penyelesaian yang efektif,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan ekosistem logistik serta infrastruktur pelabuhan adalah penting bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.
Lawatan kerja itu turut disertai wakil Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, KKIP Sdn. Bhd., Sabah Electricity, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian (DIDR), Jabatan Keretapi Sabah serta persatuan industri logistik negeri.
Turut serta, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Pengurus Besar LPPS Dollyn Aloysius dan wakil-wakil jabatan serta agensi kerajaan negeri.
Untuk rekod, Kibing Solar merupakan syarikat pembuatan kaca solar yang beroperasi di KKIP dan sebahagian daripada Kibing Group, kumpulan pengeluar kaca serta bahan solar berteknologi tinggi dari China yang berpengalaman luas dalam industri tenaga boleh baharu.


