![]() |
| Justinus menerima cenderahati daripada Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Puan Mainah@Jenny. |
KOTA KINABALU: Inisiatif Badan Budaya Nasional menerima pujian apabila menyalurkan sebahagian hasil penganjuran Majlis Makan Malam Amal kepada golongan memerlukan, khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU), yang berlangsung di Putera Ballroom, di sini, Selasa lalu.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, langkah menyalurkan 20 peratus daripada kutipan majlis tersebut kepada rumah-rumah kebajikan mencerminkan keprihatinan sosial serta semangat inklusif dalam kalangan penggiat kebudayaan.
Menurut James, penglibatan organisasi kebudayaan dalam aktiviti kebajikan bukan sahaja membantu memelihara dan memperkasa warisan budaya, malah memberi sumbangan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Usaha ini disifatkan sebagai contoh terbaik bagaimana pemeliharaan budaya dapat digabungkan dengan tanggungjawab sosial demi membina masyarakat yang berdaya ihsan dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri, Justinus Jalang, pada Majlis Makan Malam Amal Badan Budaya Nasional, di sini.
Beliau turut menegaskan komitmen kementeriannya adalah untuk terus menyokong peranan badan bukan kerajaan dan organisasi kebudayaan yang aktif memperkasa warisan yang sedia ada.
“Peranan organisasi sedemikian juga penting dalam membentuk jati diri dan memperkukuh nilai murni dalam kalangan generasi muda,”jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Badan Budaya Nasional, Puan Mainah @ Jenny menzahirkan harapan agar sokongan serta peruntukan terhadap aktiviti kebudayaan dapat terus dipertimbangkan bagi memastikan pelaksanaan program yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Beliau turut menambah bahawa sokongan berterusan itu penting dalam usaha memperkasa pembangunan budaya serta memperluaskan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
James turut berharap agar inisiatif kebajikan berteraskan budaya seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.
