Bersatu Sabah desak Muhyiddin letak jawatan, dakwa punca kekalahan PN

KOTA KINABALU: Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah terus memuncak apabila pimpinan negeri secara terbuka mendesak Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan ekoran kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Sabah (PRU Sabah), Sabtu lepas. 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin, tampil melontarkan kritikan paling keras setakat ini apabila menyifatkan Muhyiddin sebagai punca utama kekalahan gabungan itu.

Yunus mendakwa kepimpinan pusat gagal menyediakan bantuan sewajarnya kepada jentera PN Sabah sehingga ramai calon terpaksa menanggung kos kempen dengan menggadaikan harta sendiri.

“Kita cuma minta supaya jentera berjalan lancar, itu sahaja. Tetapi ada calon yang terpaksa bergadai kereta, bergadai rumah, dan kini ramai berhutang. 

"Berhutang bukan untuk diri sendiri, tetapi kerana mahu perjuangkan parti. Apa balasan Presiden kepada kami?” katanya dalam sidang media, hari ini. 

Beliau yang juga calon PN bagi kerusi Gum-Gum menegaskan bahawa kegagalan tersebut menunjukkan Muhyiddin tidak wajar terus memimpin parti.

“Individu yang bertanggungjawab atas kekalahan ini bukan saja kami di Sabah. Presiden parti sendiri memikul tanggungjawab itu. Sebab itu kami mendesak Tan Sri untuk letak jawatan,” katanya. 

Beliau turut menolak cadangan agar kumpulan calon yang kecewa keluar parti, sebaliknya menegaskan mereka adalah pihak yang telah berkorban sejak awal untuk membangunkan Bersatu di negeri itu.

“Kenapa kami yang perlu keluar? Kami yang berkorban dan berbelanja untuk parti ini. 

"Yang salah, dialah yang perlu berundur. Kami salahkan Presiden 100 peratus, dan kami tidak akan berganjak,” katanya.

Yunus berkata lebih 20 bahagian Bersatu Sabah bersedia bertindak secara besar-besaran jika kepimpinan pusat cuba mengambil tindakan disiplin terhadap mereka.

“Jika tindakan disiplin diambil, kami tidak teragak-agak untuk lumpuhkan Bersatu Sabah. Kami boleh letak jawatan serentak dan hentikan seluruh gerak kerja badan pimpinan. 

"Kami sayang parti, tetapi kalau tidak bertindak, parti akan terus dipimpin orang yang tidak betul,” katanya.

Semalam, calon muda PN di Dun Tanjung Kapor, Mohamad Affan Jumahat, turut meluahkan kekecewaan terhadap Presiden parti yang didakwa gagal memimpin jentera secara berkesan, seterusnya menyumbang kepada kekalahan PN dalam PRU Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama