![]() |
| Masidi Manjun ketika ditemui pemberita pada sidang media di Pejabat Menteri Kewangan, hari ini. |
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengakui beliau hanya mempunyai kira-kira 10 hari untuk menyiapkan Belanjawan Sabah 2026 sebelum dibentangkan pada 12 Disember ini.
Beliau yang kembali bertugas hari ini berkata, walaupun tempoh itu sangat singkat, namun beliau tetap berkeyakinan tinggi dengan persediaan awal yang sudah dilaksanakan oleh pegawai kementeriannya.
“Berkat kerajinan dan dedikasi pegawai-pegawai kementerian yang sudah bersedia sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) diubah dahulu, penyediaannya kini agak mudah sedikit walaupun masa untuk penambahbaikan agak ketat.
“Tapi, Insya-Allah, kita bersedia untuk membentangkannya pada 12 Disember nanti,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Menteri Kewangan yang bertempat di bangunan Kementerian Kewangan, di sini.
Menurutnya, Belanjawan 2026 akan meneruskan momentum pembangunan negeri, meskipun berdepan tekanan ekonomi global serta penurunan harga minyak.
“Harga minyak yang kita jangkakan lebih 70 dolar satu tong dan kini, sekitar 67 atau 68 dolar.
“Sudah pasti ini memberi kesan kepada penyediaan bajet, namun kita mengharapkan ia tidak menjejaskan usaha meneruskan momentum pembangunan dan kesejahteraan rakyat,”jelasnya.
Ketika ditanya mengenai Belanjawan Sabah 2026 yang akan meneruskan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, Masidi menegaskan manfaat pembangunan ekonomi perlu diperluaskan dengan lebih baik.
“Walaupun perbelanjaan besar telah dilakukan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan rakyat.
“Tapi, kita fikir ada keperluan untuk meneruskannya agar impaknya lebih dirasai dan dapat sedikit sebanyak merubah kehidupan mereka yang berpendapatan rendah.
“Jadi ini penekanan kita dalam penyediaan bajet tersebut,” tambahnya.
Mengulas situasi politik pasca pilihan raya, Masidi mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar memahami bahawa keutamaan Sabah ketika ini adalah kestabilan.
“Tanpa stabiliti politik, kita akan kembali kepada budaya terlalu banyak berpolitik dan ini akan mengalihkan fokus kita daripada membangunkan negeri Sabah.
“Kita dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Adalah malang jika mandat yang diberi digunakan semata-mata untuk berpolitik. Soal jawatan itu bukan yang terpenting, ini soal rezeki,”tambahnya.
Dalam pada itu, Masidi mengakui komposisi kerajaan kini wujud kekangan dalam pembentukan kabinet yang baharu, terutama selepas tiada lagi wakil Parti Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) daripada etnik Cina.
“Walaupun seorang menteri itu bukan berbangsa Cina, pendekatannya daripada awal lagi merangkumi semua kaum.
“Semangat inklusif tetap ada dalam kabinet walaupun tiada pemimpin senior etnik Cina yang terpilih,”katanya.
