TAWAU: Sekurang-kurangnya 18 buah rumah atas air di Batu 4, Kampung Kurnia Jaya musnah dalam kebakaran petang tadi.
Namun tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 500 rumah lain daripada turut terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang sebelum pasukan bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer dari balai.
Menurutnya, seramai 25 anggota dikerahkan, termasuk 20 anggota dari BBP Tawau serta lima anggota Bomba Bantuan membabitkan BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan.
“Empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu operasi.
“Sebaik tiba pada 4.34 petang, api sudah marak dan memusnahkan deretan rumah tidak kekal atas air. Sebuah kereta juga hangus terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan secara defensive menggunakan dua aliran 400 kaki serta dua pancutan air daripada tangki jentera dan sumber air terbuka iaitu air laut.
“Hasil tindakan pantas anggota di lokasi, api berjaya dikekang daripada merebak ke kawasan penempatan padat bersebelahan,” katanya.
Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada 4.45 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.47 petang selepas kawasan disahkan selamat.
“Tiada mangsa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
