Berang ditegur ganggu wanita, pemuda tikam jiran hingga cedera kena cekup

Suspek lelaki berusia 20 tahun ditahan selepas disyaki mendatangkan kecederan terhadap jirannya di sebuah rumah  sewa di kelmarin. Foto | Ihsan IPD Tawau.

TAWAU : Berang kerana ditegur, seorang pemuda bertindak menyerang jirannya menggunakan pisau lipat hingga menyebabkan mangsa cedera di jari dan perut dalam kejadian di sebuah bilik sewa di kawasan bandar ini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian kira-kira jam 6.42 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 26 tahun datang menegur tindakan suspek yang dipercayai kerap mengganggu seorang wanita yang tinggal bersendirian.

“Suspek dipercayai berang dan tidak berpuas hati selepas ditegur sebelum dia bertindak membuka pintu dan mengacukan pisau ke arah mangsa lalu menyerangnya.

"Mangsa mengalami kecederaan pada jari dan perut sebelum mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek berusia lingkungan 20-an pada hari yang sama kira-kira jam 11.32 malam di sekitar kawasan bandar Tawau.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Champin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah kekerasan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendirian sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman atau ugutan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama