![]() |
| ALBUM... Tun Musa bergambar kenangan bersama-sama Ahli Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025. |
KOTA KINABALU: Seramai 50,000 pengunjung termasuk pelancong dijangka memeriahkan pelbagai acara sepanjang Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025.
Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Ewon Benedick berkata sambutan akan berlangsung di Padang Merdeka bermula 16 hingga 19 Disember.
"Ini mencerminkan keterbukaan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyokong perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
"Sambutan tersebut dianjurkan sejak 19 tahun lalu kini memasuki tahun ke-20 dan buat julung kalinya diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.
"Selain pelbagai pengisian pentas sepanjang sambutan, Jamuan Rakyat turut diadakan melibatkan 100 usahawan tempatan dari kalangan penjaja dan peniaga kecil sebagai pembekal pelbagai juadah kepada pengunjung, sebagai sokongan kepada perusahaan mikro dan kecil di negeri ini.
"Kerajaan Negeri Sabah mengangkat Sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Sabah Council of Churches (SCC) sebagai Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025," ujarnya kepada media selepas mengetuai rombongan Jawatankuasa Induk Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025 menghadap Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Menurut Ewon, sambutan itu akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada malam 16 Disember, manakala majlis penutupannya akan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada 19 Disember ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan menjelaskan, meskipun tempoh persiapan agak singkat selepas dipertanggungjawabkan menguruskan jawatankuasa induk pada Mesyuarat Kabinet Sabah 3 Disember lalu, perancangan awal oleh jawatankuasa terdahulu melibatkan Kementerian Belia dan Sukan, DBKK serta SCC banyak membantu kelancaran persiapan.
"Cadangan untuk mengangkat sambutan ini sebagai sambutan peringkat negeri telah dipersetujui Kabinet Sabah pada mesyuarat 10 Disember lalu," ujarnya.
Tambahnya, tema sambutan ‘Pengharapan Damai Dalam Kasih’ (Hope for Peace in Love) menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah selaras dengan agenda Sabah First dan Sabah Maju Jaya.
Hadir sama, Setiausaha Tetap MIDET Datuk Thomas Logijin; Pengerusi Penganjur Bersama SCC, Father Thomas Yip; Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong serta Timbalan Ketua Pengarah DBKK Faradillah Abdul Rani.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
