KOTA KINABALU: Di sebalik ujian hidup yang berat, graduan Orang Kelainan Upaya (OKU), Dayang Ku Siti Mashitah Ak Sulaiman telah berjaya menamatkan pengajiannya secara Aegroatat pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Seorang anak muda berusia 24 tahun itu berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) meskipun pernah koma selama sebulan, kehilangan sebahagian anggota badan dan mengalami gangguan pertuturan akibat strok.
Baginya, hari ini bukan sekadar satu penghargaan, malah sebuah bukti bahawa manusia mampu bangkit walau diuji berkali-kali.
“Saya sedih… tapi dalam sedih itu saya gembira juga. Saya langsung tidak percaya saya boleh habiskan pengajian saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah, di sini.
Masyitah menerima anugerah tamat pengajian secara Aegrotat itu dengan ditemani oleh ibu dan ayahnya, Awangku Sulaan Pg Ag Damit.
Ketika ditanya mengenai punca kesakitan yang dialaminya, beliau berkongsi bahawa pada tahun 2023, ketika berada di tahun kedua pengajian, beliau dimasukkan ke hospital akibat sakit perut sebelum disahkan mengalami komplikasi appendiks yang serius.
“Waktu itu jantung saya sudah sangat kuat… mereka tidurkan saya. Bila saya bangun, rupa-rupanya saya sudah sebulan koma.
“Saya pun tidak tahu yang saya seorang pelajar UMS. Lepas itu, tiba-tiba ramai orang dari UMS datang pergi hospital, terutama sekali kelab hubungan antarabangsa.
“Mereka memberitahu saya ini pelajar Hubungan Antarabangsa UMS. Di sana saya mula ingatlah, sikit-sikit,” jelasnya.
Walaupun terpaksa menjalani operasi untuk kedua-dua belah tangan dan kakinya, ingatan yang mula pulih membakar semangat beliau untuk meneruskan pembelajarannya.
“Saya mahu belajar, lepas koma kan minda saya kosong. Kadang-kadang saya baca sifir untuk isi kekosongan itu,” katanya.
Menyambung pengajian selepas operasi bukan perkara mudah, terutama di kampus berbukit UMS yang mencabar bagi penuntut berkerusi roda.
Namun, beliau berkata, rakan seperjuangannya sentiasa membantu.
“Kelab hubungan antarabangsa telah menyediakan ‘body system’ untuk angkat saya ke kereta dan kawan saya pula akan tolong angkat saya ke kereta,”ujarnya.
Menariknya, sepanjang pengajian, beliau tidak pernah menerima biasiswa.
“Saya tidak pernah mohon dan aya tidak tahu pun ada biasiswa untuk OKU. Jadi yuran saya, saya tanggung sendiri,” katanya.
Walaupun jalan hidupnya tidak mudah, anak kedua dalam adik-beradik itu memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana.
“Saya mahu sambung master, cuma saya sedih sebab anugerah yang saya dapat tadi tidak melayakkan saya terus masuk master,”tambahnya.
Beliau turut menyampaikan kata-kata penghargaan kepada keluarganya yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjuangannya itu.
“Saya ingin berterima kasih kepada ibu dan ayah atas segala sokongan dan doa. Tanpa mereka, saya tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Samariah Matnoor, 55, meluahkan rasa gembira menyaksikan anaknya menamatkan pengajian dengan jayanya.
“Dari dia sakit, dia tiada harapan lagi untuk bercakap.
“Tapi Alhamdulillah, umur dia panjang dan hari ini anak saya Dayang dapat juga menerima ijazahnya. Perasaan itu memang gembira sangatlah, Alhamdulillah,” katanya.
Menurutnya, Masyitah seorang anak yang suka menceriakan suasana di rumah, rajin belajar dan bertekad membantu keluarga selepas tamat pengajian.
“Bila habis belajar, dia cakap bila dapat kerja, dia ingin membantu kedua ibu bapa dan keluarkan keluarga dari kehidupan yang susah.
“Alhamdulillah, sekarang ada rezeki untuk dia,” ujarnya.
Penganugerahan Aegroatat merupakan kelulusan khas universiti bagi pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan akhir akibat masalah kesihatan serius tetapi telah menunjukkan prestasi akademik yang memadai.
