KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menubuhkan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) sebagai pusat bioteknologi pertanian terbesar di negeri ini, dalam usaha memperkukuh sektor pertanian berasaskan sains, teknologi dan inovasi.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang tadi.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Kerajaan Sabah akan menubuhkan Sabah Agricultural Biotechnology Centre atau SABTeC sebagai pusat penyelidikan bioteknologi pertanian,” katanya.
Menurut beliau, SABTeC akan dibangunkan di Agriculture Research Centre (ARC), Tuaran, dan dilengkapi dengan kemudahan moden termasuk makmal biologi molekul, bioinformatik, kultur tisu serta rumah hijau tumbuhan transgenik.
Masidi berkata, penubuhan pusat itu bertujuan menyokong penyelidikan berimpak tinggi, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang tahan penyakit, berhasil tinggi dan mesra alam, di samping penggunaan teknologi penanda DNA bagi pengecaman varieti, penyakit dan perosak tanaman.
“Inisiatif ini akan memperkukuh keupayaan penyelidikan pertanian Sabah serta membantu meningkatkan produktiviti, keterjaminan makanan dan daya saing sektor pertanian negeri,” jelasnya.
Beliau menambah, penubuhan SABTeC juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang bioteknologi pertanian serta mempercepatkan pemodenan sektor pertanian di Sabah.
