SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan rundingan dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Sabah berhubung penentuan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang kosong susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan itu penting memandangkan BN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah dan pendekatan berunding dilihat lebih baik demi kepentingan rakyat serta kestabilan politik.
Menurutnya, perbincangan bukan hanya melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah parti-parti lain yang berhasrat bertanding di kawasan DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
“Oleh kerana kita menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah, tidak mustahil untuk kita mengadakan perundingan bukan sahaja dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi juga parti-parti lain yang pernah bertanding di Lamag sebelum ini.
“Bagi Parlimen Kinabatangan, kita juga akan berunding. Jika perundingan dengan semua pihak dapat dilakukan, itu adalah kaedah yang lebih baik memandangkan tempoh Parlimen masih berbaki sehingga 24 bulan,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden IPF, Datuk T Loganthan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Pada PRU Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.
