KOTA KINABALU: Senarai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik hari ini menampilkan wajah-wajah baharu yang dibarisi oleh golongan professional termasuk seorang bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin Ken Fong.
Tiga lagi ADUN Dilantik dari golongan professional termasuk dua peguam, iaitu Datuk Mohamed Razali Razi dan Datuk Ceasar Mandela Malakun, manakala Datuk Ir Chin Shu Ying merupakan seorang jurutera.
Seterusnya dua lagi ADUN Dilantik Datuk Kasim Razali daripada Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Grace Lee Li Mei.
Pelantikan kesemua mereka telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Sementara itu, daripada 17 jawatan pembantu menteri, empat adalah ADUN Bebas, iaitu Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Rina Jainal (Kukusan), Datuk Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).
Turut dilantik ialah ADUN mewakili Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Mohd Ishak Ayub (Bingkor).
Pembantu Menteri selebihnya ialah Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Seri Dr Ruddy Awah (Pitas), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Samad Jambri @Jamri (Labuk), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Ruslan Muharam, (Lumadan) dan Datuk Hendrus Anding (Tandek).
Seterusnya, Datuk Jonnybone J Kurum (Telupid), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Datuk Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Tanjung Batu).
