‘DUN Sabah jadi platform saya perjuangkan MA63’ - Roger Chin

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin, menegaskan bahawa kedudukannya dalam Dewan tidak akan menjejaskan prinsip kebebasan yang selama ini menjadi pegangan beliau, khususnya memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS) itu berkata, ramai yang bertanya sama ada beliau masih mampu bersuara lantang selepas menerima pelantikan tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa pendiriannya tidak berubah.

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya dibawa masuk sebagai seorang profesional. Kebebasan saya tidak terjejas dan saya akan terus mempertahankannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pelantikan berkenaan bukanlah pelantikan politik, sebaliknya beliau diberi jaminan untuk kekal bebas bagi membawa suara profesional dan isu masyarakat yang sering diketepikan.

“Peranan ADUN Dilantik memang diwujudkan untuk suara seperti ini iaitu suara yang mewakili kepakaran dan komuniti yang kurang diberi perhatian,” katanya.

Roger berkata, perjuangan beliau mengenai MA63 selama ini dilakukan dari luar melalui penulisan, pandangan undang-undang dan kritikan terbuka.

Namun, katanya, beliau menyedari bahawa perubahan sebenar berlaku di dalam Dewan tempat undang-undang digubal.

“Jika saya mahu membantu menyelesaikan perjuangan MA63, saya perlu berada di platform pembuat dasar, bukan hanya mengkritik dari luar,” katanya.

Roger turut menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan menjadi platform lebih kukuh untuk beliau memperjuangkan isu MA63 secara langsung dan lebih berkesan.

“Dalam Dewan, kita bukan sahaja boleh membangkitkan isu, tetapi juga berunding dan mempengaruhi keputusan. Itu sebab saya terima tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyampaikan ucapan tahniah dan sokongan kepadanya.

“Saya melangkah ke dalam peranan ini atas dasar tanggungjawab, bukan kerana cita-cita politik. Saya akan terus bersuara dan mempertahankan apa yang benar untuk Sabah,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama