KOTA KINABALU: Timbalan Menteri
Komunikasi, Teo Nie Ching menziarahi pelakon veteran Sabah, Ejin Dinting, 77,
di Kampung Dato menerusi Program Ziarah Seni Madani FINAS.
Kunjungan itu sebahagian daripada
komitmen berterusan kerajaan memastikan anak seni di Sabah termasuk artis uzur
dan tidak lagi aktif, terus diberi perhatian serta tidak tersisih daripada
inisiatif kebajikan industri.
Menurut Teo, setakat 15 November
seramai 167 penerima menerima bantuan Ziarah Seni Madani, melepasi sasaran awal
100 orang.
"Peningkatan ini menunjukkan
kesungguhan kerajaan menghargai jasa dan sumbangan karyawan seni. Seramai enam
penerima adalah dari Sabah dan negeri ini sentiasa menjadi antara kawasan yang
diberi perhatian.
“Program hari ini memberi peluang untuk
saya menziarahi Ejin dan menyerahkan sedikit bakul makanan serta sumbangan
kewangan bagi meringankan beban beliau,” katanya ketika ditemui pada program
itu, Sabtu.
Di samping itu, beliau juga memaklumkan
program berkenaan akan diteruskan tahun hadapan selaras dengan komitmen
kerajaan menyantuni lebih ramai penggiat seni di seluruh negara.
“Program ini bukan bersifat one-off. Ia
dimulakan sejak 2023 dan tahun ini kita dapat lihat peningkatan jumlah
penerima," ujar beliau.
Sementara itu, Ejin melahirkan rasa
terharu atas kunjungan dan sumbangan yang diterimanya.
“Terima kasih kerana datang melawat saya. Saya sangat terharu dan berharap lebih ramai artis veteran Sabah akan terus dibantu,” katanya.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah
Sinergi Industri FINAS, Wan Noor Zazreena Wan Zaizodin dan Presiden Sabah Film
& Visual Association (SAFVA), Chester Pang.
