![]() |
| Zahid sewaktu sesi soal jawab bersama media di Hotel Marriott, Kota Kinabalu, di sini, hari ini... |
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang rundingan, perbincangan atau kerjasama politik diadakan antara BN dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Zahid berkata, walaupun BN dan Warisan bertembung di beberapa kerusi, ia bukan kerana wujud rundingan sulit, sebaliknya hasil realiti politik Sabah yang semakin kompleks.
“Saya tidak pernah berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, mengenai pembahagian kerusi atau apa-apa bentuk kerjasama sebelum PRN,” katanya pada sesi libat urus bersama media di sini.
Beliau bagaimanapun mengakui kemungkinan kerjasama pasca PRN tidak boleh ditolak, memandangkan tiada mana-mana parti dijangka mampu membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.
“Kita tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan rundingan selepas keputusan pada 29 November nanti. Tiada satu pun parti atau gabungan yang boleh bentuk kerajaan sendiri,” katanya lagi.
Mengulas isu pertindihan kerusi antara parti gabungan, Zahid mengakui perkara itu tidak dapat dielakkan namun jentera di setiap kerusi telah diarahkan bergerak secara berasingan bagi mengelakkan konflik.
“Kerusi-kerusi yang bertindih itu tidak dapat dielakkan. Persefahamannya ialah jentera bergerak secara berasingan asalkan tidak menyentuh sensitiviti parti,” ujar Zahid.
Beliau menyifatkan keseluruhan situasi itu sebagai sebahagian “dinamika politik Sabah” yang memerlukan keputusan matang selepas keputusan rasmi diumumkan.
