TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menolak anggapan bahawa beliau adalah ‘calon heavyweight’, sebaliknya menegaskan setiap calon yang bertanding di kawasan itu mempunyai peluang yang sama untuk menang.
Menurutnya, gelaran itu timbul hanya kerana beliau diminta bersara awal sebelum kembali ke kampung dan seterusnya diletakkan sebagai calon di Merotai pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17.
“Saya rasa orang nampak macam itu sebab saya balik kampung selepas bersara dan tiba-tiba bertanding. Tapi bagi saya, semua calon berdiri atas padang yang sama.
“Yang menentukan kemenangan bukan gelaran heavyweight, tetapi bagaimana kita terangkan dasar, rekod kerajaan dan apa yang mampu kita bawa untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di sini, semalam.
Ruji berkata, dakwaan kononnya beliau ‘baru turun padang’ juga tidak tepat kerana sepanjang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, beliau sering turun ke lapangan termasuk di Merotai, Tawau dan Kalabakan.
“Saya memang kerap turun sebelum ini. Jadi bukan isu saya baru muncul. Yang penting sekarang ialah apa tawaran saya untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Mengulas suasana penamaan calon yang penuh meriah, Ruji berkata kehadiran penyokong dari pelbagai parti menunjukkan kematangan politik rakyat Sabah dalam meraikan proses demokrasi.
“Kita harap semua berjalan lancar sampai hari mengundi pada 29 November nanti,” katanya.
Ruji turut menegaskan beliau kembali ke kampung halaman bukan sekadar bertanding, tetapi membawa misi jangka panjang berdasarkan pengalaman dalam pembangunan, pentadbiran serta pengurusan sumber manusia.
“Saya balik sebab mahu gunakan pengalaman saya untuk bantu Sabah. Saya harap pengundi Merotai beri peluang untuk saya terus berkhidmat,” jelasnya.
Beliau berkata jentera kempen di Merotai semakin kukuh selepas menerima sokongan padu daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Alhamdulillah, semua parti dalam kerajaan kini bergerak bersama. Komitmen mereka cukup kuat untuk bantu kita hadapi PRU17 ini,” katanya.
