PUTATAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, yakin kekuatan jentera di peringkat akar umbi menjadi kelebihan utama beliau dalam menghadapi saingan 11 penjuru pada PRN Sabah ke-17.
Shah Alfie, 39, yang juga adik kepada penyandang kerusi itu, Datuk Shahelmey Yahya, berkata hubungan akrab bersama jentera sejak sekian lama menjadikan gerak kerja pilihan raya lebih tersusun dan bersemangat.
"Berkenaan dengan jentera selaku adik, saya ini sudah lama bekerja dengan abang saya, dam jentera-jentera pun sudah tidak asing malah sering berkerjasama malahan lebih rapat bersama saya,"
"Itu tidak ada sebarang masalah, kalau mahu dikatakan kem sebelah sana, kem sebelah sini, saya yakin ini adalah demokrasi. Tidak ada sebarang perselisihan paham atau sebarang permusuhan. Saya yakin dan percaya mereka memberi sokongan penuh kepada saya," Katanya
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Putatan hari ini.
Menurutnya, walaupun pilihan raya kali ini menyaksikan pertandingan ramai calon, ia tidak menjejaskan fokus beliau untuk memastikan kemenangan GRS di Tanjung Keramat.
Shah Alfie turut menegaskan bahawa pencalonannya bukan beban, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang dipikul demi penduduk di kawasan berkenaan.
"bagi saya pencalonan ini bukanlah beban, ini adalah tanggung jawab dan amanah malah rakyat yang memilih, jentera yang menyokong, saya terima dengan lebih bersemangat,"
"Masing-masing kita ada kekuatan sendiri dan kita mampu untuk membawa jentera-jentera ini dan penyokong-penyokong lebih dekat untuk menyokong parti GRS di Tanjung Keramat ini," ujarnya.
Katanya lagi, beliau akan terus memperkukuh momentum kempen termasuk bertemu jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menguatkan sokongan menjelang hari pengundian.
Selain gerak kerja kempen, Shah Alfie menawarkan tiga misi utama sebagai teras pembangunan Tanjung Keramat, antaranya Memperkasa Belia Lestari, dengan fokus kepada peluang pekerjaan serta penglibatan belia dalam aktiviti ekonomi.
Jelasnya, latar belakang dalam bidang perakaunan dan pengalaman sebagai Ahli Majlis Daerah Putatan serta Pegawai Khas Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat memberi kelebihan untuk melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang.
Shah Alfie yakin kombinasi pengalaman akar umbi dan pentadbiran mampu meningkatkan keyakinan pengundi terhadap kepimpinannya menjelang PRN Sabah ke-17.
