![]() |
Menurutnya, perjuangan memaknai MA63 bukan soal siapa lebih hebat atau siapa paling ke depan, sebaliknya usaha bersama untuk menuntut hak Sabah yang telah dipersetujui sejak pembentukan Malaysia.
Namun katanya, apa yang berlaku kini ialah kecenderungan Warisan untuk tampil sebagai wira setiap kali muncul perkembangan positif, termasuk keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah, meskipun mereka tidak memainkan peranan dalam usaha tersebut.
“Apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada Sabah Law Society (SLS) berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Warisan terus mencanangkan seolah-olah merekalah yang membawa kes berkenaan.
"Hakikatnya, rekod menunjukkan mereka sendiri memilih untuk tidak membawa isu ini ke mahkamah ketika berkuasa dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk pendirian rasmi kerajaan Warisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Ogos 2019, ketika bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyatakan kerajaan negeri tidak akan mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah atas alasan ia 'tidak elok'.
Armizan turut mengingatkan bahawa Warisan juga tidak mahu bersama Sarawak dalam tindakan undang-undang terhadap PETRONAS bagi menuntut Cukai Jualan Negeri (CJN) petroleum, sedangkan kejayaan Sarawak di mahkamah kemudiannya turut membawa manfaat kepada Sabah.
“Bila perjuangan belum tentu menang, mereka tidak bersama. Bila keputusan memihak kepada Sabah, mereka muncul pula sebagai juara. Inilah hipokrasi politik yang perlu ditegur,” katanya.
Mengulas dakwaan Warisan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan GRS mengkhianati MA63, Armizan berkata kenyataan itu bercanggah dengan fakta.
Malah, katanya, SLS sendiri dalam kenyataan pada 17 Oktober 2025 mengiktiraf peranan kerajaan GRS yang konsisten semasa prosiding tuntutan 40 peratus hasil tersebut.
Katanya, penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri yang mewakili kerajaan Sabah tidak bercanggah dengan kes SLS, malah membantu memperkukuhkan kedudukan Sabah berasaskan rekod sejarah dan hak perlembagaan.
“GRS tidak pernah lari daripada perjuangan MA63. Pendekatan kami jelas, konsisten dan berdasarkan dokumen serta fakta undang-undang.
"Jika Warisan ingin tampil sebagai pejuang, itu hak mereka, tetapi jangan menuduh pihak lain pengkhianat sedangkan rekod mereka sendiri tidak menyokong dakwaan itu,” katanya.
Menurut Armizan, rakyat Sabah berhak mengetahui rekod sebenar setiap parti agar tidak terpedaya dengan naratif yang dibina untuk kepentingan politik.
“Usaha memulihkan hak Sabah perlu dilakukan secara jujur, bukan dengan menimbulkan persepsi palsu.
"Warga Sabah tidak wajar dikaburi dengan wayang politik. Sudah tiba masanya kita menolak hipokrasi dan meneruskan perjuangan berdasarkan kebenaran,” katanya.
