KENINGAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga menghadapi cuaca bagi memastikan lebih 413,000 calon tetap menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
berkata sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2025 berlangsung, pihaknya bersiap
siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya melibatkan kerjasama
dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia,
Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Ada sedikit cabaran di beberapa
negeri kerana banjir, tapi alhamdulillah semua persiapan berjalan dengan baik
dengan siap-siaga daripada semua agensi-agensi yang terlibat.
"Jadi untuk Sabah, saya ucap
terima kasih kepada JPN, PPD dan sekolah khususnya yang telah memastikan
persiapan walaupun ada kemungkinan-kemungkinan hujan lebat, banjir dan
sebagainya.
"Persiapan itu telah pun kita
laksanakan dengan lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Ops
Payung di yang kita aktifkan di seluruh negara," jelasnya kepada media
dalam sesi turun padang bersama Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Raisin Saidin,
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) dan Pengetua untuk meninjau persiapan
peperiksaan bagi kertas pertama Bahasa Melayu di SMK Keningau, pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan
kepada semua pihak yang terlibat dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua
calon SPM, sambil menegaskan KPM akan terus menyokong dan memastikan
peperiksaan berjalan lancar.
"Saya ucapkan selamat maju jaya
kepada semua anak-anak yang menghadapi SPM pada hari ini. Semoga kejayaan
mengiringi anak-anak semua dan pastikan maknanya segala persiapan itu berjalan
dengan baik.
"Di peringkat KPM akan terus menyokong dan mendukung dan
memastikan semua persiapan anak-anak khususnya menghadapi baik cuaca maupun
bencana banjir, anak-anak akan tetap meneruskan peperiksaan sepertimana yang telah
pun diatur dan disusun," ujarnya.
Sementara itu, Raisin ketika ditemui
media memaklumkan, JPN Sabah cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta
petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan
penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).
Mengulas mengenai persiapan JPN Sabah,
Raisin mendedahkan pihaknya akan mengaktifkan Operasi Payung sekiranya berlaku
bencana banjir bagi membantu calon dan petugas peperiksaan yang terkesan.
"Calon akan ditempatkan di asrama
sekolah atau pusat pemindahan sementara dan bantuan logistik akan disalurkan
kepada calon dan petugas peperiksaan asal terjejas dengan banjir.
"Bagi memastikan kesejahteraan
mental dan emosi calon peperiksaan, JPN Sabak turut menyediakan khidmat
sokongan psikososial," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut
menasihatkan semua calon peperiksaan agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di
pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan
berhampiran disebabkan oleh bencana.
"Calon boleh menghubungi talian
bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat JPN Sabah 088-304099 /
088-221132 JPN Sabah komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan
peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,"
ujarnya lanjut.
Di Sabah, jumlah calon SPM di Sabah
meningkat kepada 37,038 orang manakala 232 orang lagi merupakan Calon
Berkeperluan Khas (CBK) yang akan menduduki peperiksaan di 320 pusat
peperiksaan seluruh Sabah melibatkan seramai 4,214 petugas peperiksaan termasuk
pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) Tahun 2025 yang bermula hari ini hingga 23 Disember depan juga
melibatkan 81 mata pelajaran melibatkan 113 kertas peperiksaan yang diambil
oleh calon di negeri ini.
