KOTA KINABALU: "Kita bawa idea,
bukan kebencian.” Itu penegasan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Darau,
Datuk Mohamed Razali Razi@Bob yang meletakkan pendekatan politik baru sebagai
teras kempen beliau, iaitu politik yang menawarkan solusi, data dan
perancangan, bukan sentimen perpecahan.
Menurutnya, politik masa kini
memerlukan kaedah penyelesaian yang lebih tersusun dan inklusif, terutama
melibatkan komuniti di peringkat kampung serta taman perumahan.
Sehubungan itu, beliau menekankan
penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti sebagai struktur baharu yang akan
menggabungkan kepimpinan kampung, JKK serta golongan belia dalam teras
manifesto kempen.
“Mereka (belia) mahu didengari. Mereka
mahu tahu apa perancangan pemimpin kampung. Suara mereka perlu diangkat,”
katanya sambil menegaskan bahawa peranan belia bukan lagi sekadar pemerhati,
tetapi pembuat keputusan bersama dalam pengurusan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
media selepas sesi walkabout di CKS Menggatal, pada Selasa.
Razali turut mencadangkan pembinaan
Youth Hub di setiap kampung sebagai ruang rekreasi sihat dan selamat untuk anak
muda.
Katanya, belia memerlukan satu pusat
yang terarah dan membina, bukan sekadar tempat untuk melepak tanpa hala tuju.
Mengulas keutamaan pertama jika diberi
mandat, Razali yang juga Setiausaha Eksekutif GRS berkata, beliau akan
membentuk pasukan pakar untuk menjalankan sesi brainstorming demi merangka
sistem pengurusan kampung yang baharu dan lebih efektif.
“Kita kena buat secara baharu, bukan
lagi cara konvensional. Semua pembangunan mesti berasaskan dasar tersusun,
direkodkan dan disusun untuk tempoh lima tahun,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa semua mesyuarat
Majlis Pengurusan Komuniti akan dipengerusikan sendiri olehnya bagi memastikan
komunikasi telus, keputusan berdasarkan konsensus, serta pelaksanaan yang
berdisiplin.
Razali turut menegaskan bahawa setiap
perancangan pembangunan akan disertakan KPI, laporan tahunan dan 'report card'
yang akan dibentangkan kepada masyarakat secara terbuka. Langkah ini, katanya,
penting bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan sepanjang penggal
perkhidmatan.
Mengenai perkembangan kempen, Razali
menyatakan bahawa beliau menerima respons yang sangat positif daripada rakyat
Darau, khususnya golongan belia yang menyambut baik pendekatan politik matang
dan berpaksikan idea.
“Kita bercakap tentang tawaran spesifik
untuk Darau, bukan retorik. Belia semakin percaya bahawa mereka memerlukan
pemimpin yang ada visi dan minda yang membawa mereka ke depan,” katanya.
Razali turut menegaskan pentingnya
kesinambungan dasar di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, sikap “tukar kerajaan
setiap pilihan raya” hanya merencatkan pembangunan dan menyebabkan banyak dasar
terbatal sebelum sempat memberi kesan kepada rakyat.
“Kita mahu kestabilan politik. Kalau
tukar-tukar kerajaan, polisi terbatal. Sayang. Kita perlu kesinambungan,”
tegasnya.
