UPKO umum keluar dari PH serta merta



KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan, serta-merta.

Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Angang berkata perkata terbabit telah diputuskan secara sebulat suara 

Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO untuk membincangkan agenda Sabah First.

Katanya, mesyuarat khas terbabit menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ia melibatkan pendirian Ewon yang tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Mengulas lanjut, katanya sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihanraya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

"⁠Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.

"⁠Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah. 

"Malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.

"Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘coordinator’, tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihanraya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nelson berkata pihaknya menilai semula hala tuju perjuangan dan menyimpulkan bahawa parti tempatan Sabah sahaja yang memahami 'roh' Perjanjian Malaysia 1963 dan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya hak 40 peratus.

"UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah tersebut adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List).

"UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

"UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

"Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihanraya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta," katanya.

Susulan itu, beliau memaklumkan keputusan terbabit akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti komponen PH.

"Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan sehingga penggal ini berakhir," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama