Keputusan rayuan 40 peratus hasil Sabah dimuktamad esok – Anwar


TAWAU: Keputusan sama ada kerajaan akan memfailkan rayuan berhubung tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat itu akan mendengar terlebih dahulu penjelasan Peguam Negara sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan muktamad.

“Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, sama ada hendak rayu atau tidak, tunggu esok.

“Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa, tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita berbincang bersama semua anggota Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Sabah di Pasar Taman Semarak, di sini, hari ini.

Anwar menegaskan kerajaan memahami keresahan rakyat Sabah dalam isu itu, namun segala keputusan mesti melalui proses undang-undang yang betul dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

“Mahkamah arah untuk runding, saya kata baik, kita runding.

“Tapi sekarang kerajaan sementara (caretaker government). Jadi tunggu selepas pilihan raya, bila kerajaan baharu dibentuk, rundingan akan dimulakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI sudah membuktikan komitmen yang lebih besar terhadap Sabah berbanding pentadbiran sebelum ini.

Katanya, Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, jauh melebihi hasil kutipan kerajaan Persekutuan di negeri itu yang dianggarkan sekitar RM10 bilion setahun.

“Sejak saya jadi Perdana Menteri, pemberian khas kepada Sabah dinaikkan daripada RM56 juta kepada RM600 juta.

“Namun, ini belum muktamad kerana kerajaan negeri meminta tambahan dan kita akan runding lagi dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Anwar turut membidas pembangkang yang terus mengkritik kerajaan berhubung isu tersebut.

“Kalau pembangkang asyik marah, saya nak tanya, nak marah apa?

Zaman dulu dapat RM56 juta saja, sekarang kita bagi RM600 juta, pun masih marah?” katanya.

Beliau menegaskan, dasar Kerajaan MADANI sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan untuk semua negeri, termasuk memastikan Sabah terus diberikan keutamaan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama