Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan di Dewan Serbaguna Bongawan, semalam.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pemilihan Anifah sebagai calon GRS menggambarkan komitmen gabungan itu untuk menampilkan pemimpin berpengalaman dan berwibawa dalam meneruskan agenda pembangunan rakyat di Bongawan.
“Kalau GRS, parti komponennya dan jenteranya mantap, ditambah dengan sokongan rakyat yang bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS dan kita mahu menang,” katanya.
Beliau berkata, DU Bongawan yang kini disandang parti pembangkang perlu kembali diwakili oleh parti kerajaan bagi memastikan kawasan itu terus dimajukan selaras dengan slogan Bongawan Maju.
Dalam ucapannya, Hajiji turut mengingatkan pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat bagi memastikan kestabilan politik di Sabah, khususnya menjelang PRU Sabah pada 29 November ini.
Katanya, kestabilan politik akan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak program pembangunan ekonomi untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Rugi kalau GRS tidak dikasi menang. Kita mesti bersatu untuk menentukan masa depan Sabah.
"Jangan sekali-kali terpedaya dengan retorik dan dakyah pembangkang,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa segala kejayaan kerajaan negeri termasuk peningkatan hasil kepada RM7.5 bilion serta bantuan pendidikan bernilai RM1.3 bilion yang memanfaatkan 500,000 anak Sabah adalah hasil pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab.
Menurutnya, pembangkang mungkin tidak merasai hasil usaha itu kerana manfaat sebenar dirasai oleh rakyat yang menerima bantuan dan peluang daripada kerajaan negeri.
