Undi 29 haribulan adalah undi masa depan golongan belia - Ruji Ubi

MEROTAI: Golongan muda diingatkan agar melihat hari pengundian pada 29 haribulan ini sebagai keputusan penting dalam menentukan masa depan mereka, bukannya sekadar memilih parti atau individu tertentu.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, menegaskan bahawa anak muda perlu membuat pilihan dengan fikiran terbuka dan menilai parti yang benar-benar mampu menawarkan masa depan yang lebih cerah.

“Kepada pengundi muda khususnya pengundi kali pertama, memilih pada 29 hari bulan ini adalah pemilihan masa depan anak-anak. 

“Jadi jangan terpengaruh sangat dengan media sosial. Buka fikiran dan pilih parti yang boleh memberikan harapan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Ahad. 

Beliau menegaskan bahawa pengundian seharusnya dilihat sebagai keputusan jangka panjang kerana ia memberi kesan langsung kepada arah pembangunan kawasan dan peluang yang bakal dinikmati golongan muda.

“Saya sebut, bila mengundi bukannya pasal parti atau YB itu, tetapi pasal masa depan anak-anak. 

“Saya datang ke sini dengan pengalaman daripada perkhidmatan kerajaan, membawa pengalaman dan pengetahuan untuk memastikan masa depan anak-anak lebih terjamin,”jelasnya. 

Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda di Merotai yang berpotensi menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Seperti yang saya sebut tadi, pembinaan Pekan Baru Merotai boleh membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada anak-anak kita.

Katanya, pembinaan Kompleks Sukan di dun itu juga dilihat dapat memenuhi keperluan anak muda untuk beriadah dan bersukan. 

“Pada anak muda Merotai, khususnya pengundi kali pertama atau yang berusia 40 tahun ke bawah, ingat bahawa undi pada 29 haribulan ini adalah undi untuk masa depan. 

“Saya mohon diberi peluang bagi memberikan harapan kepada anak muda dalam tempoh lima tahun akan datang,”tambah beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama