KUDAT: Seramai 804 ahli baharu secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kempen Rumah Kita, Kita Jaga, di sini.
Majlis penyerahan keahlian yang terdiri daripada 447 ahli Warisan dan 357 bebas itu telah disempurnakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Calon GRS bagi DUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin, menyifatkan penyertaan beramai-ramai ini sebagai bukti rakyat semakin yakin dengan hala tuju gabungan itu.
“Kemasukan 804 ahli baharu ini menunjukkan bahawa rakyat sendiri melihat GRS sebagai gabungan yang konsisten, stabil dan benar-benar bekerja untuk Sabah.
“Ini satu isyarat jelas bahawa momentum sokongan semakin kuat, terutama di peringkat akar umbi,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis yang bertempat di Dataran Tomborungus, hari ini.
Beliau menambah bahawa hubungan rapat dengan calon DUN Tg Kapor, Datuk Ben Chong memudahkan penyelarasan gerak kerja memandangkan Banggi berada di bawah pentadbiran Daerah Kudat.
“Saya dan YB Ben sentiasa berhubung kerana kami memang dekat, dan oleh kerana Banggi juga di bawah pentadbiran Daerah Kudat.
“Kita menetapkan sasaran bahawa sepanjang kempen, pretasi kita bukan semakin perlahan, bukan semakin menurun, tetapi kita akan kekalkan momentum terbaik sehingga 28 dan 29 hari bulan ini,”jelasnya.
Mengulas berkenaan keyakinan beliau terhadap momentum sepanjang kempen di kawasan itu, beliau berpendapat bahawa sokongan yang diberikan sangat memberansangkan.
“Semua calon kalau kita tanya memang semua yakin. Cuma bukti di lapangan kita perlu tunjukkan prestasi yang sebenar lah.
“Saya melihat kalau kami di Banggi kami bukan hanya mengikut struktur Pusat Daerah Mengundi (PDM) tapi kami bergerak kampung ke kampung, pulau ke pulau dan Alhamdulillah penerimaan masyarakat sangat positif,”tambahnya.
