Tamatkan sistem aduan bersifat Ad-hoc di Darau, urus secara digital dan lebih berstruktur - Razali

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah bagi Dewan Undangan Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob menegaskan bahawa masa untuk bergantung kepada aduan secara ad-hoc sudah berakhir. 

Beliau berkata, Darau memerlukan satu sistem pengurusan komuniti yang moden, terancang dan berstruktur bagi memastikan semua masalah penduduk dapat diselesaikan dengan cepat, tepat dan berkesan.

Dalam sidang media selepas Program Ramah Mesra GRS di Taman Permainan Awam Taman Kingfisher Millennium, Razali berkata kebanyakan masalah yang dibangkitkan penduduk terutama di taman perumahan berpanjangan, kerana tiada platform rasmi untuk menyampaikan aduan serta tiada badan perantara yang menjadi jambatan antara penduduk dan pemimpin.

Menurutnya, manifesto GRS Darau telah merangka pembentukan Majlis Komuniti di seluruh kawasan, meliputi kampung dan taman. 

Badan ini akan berfungsi sebagai pusat penyelarasan rasmi untuk mengumpul aduan, membuat verifikasi, menyusun prioriti dan menyediakan laporan pembangunan secara sistematik.

“Kita tidak boleh lagi terima aduan hari ini, esok lupa. Kita mahu kumpul, data, dan rancang untuk lima tahun. Ini KPI kita, ini report kad kita. Tidak lagi bersifat ad-hoc,” tegasnya.

Razali turut mengesahkan bahawa manifestonya memperkenalkan Sistem Hotline & Dashboard Aduan Digital yang membolehkan setiap laporan direkodkan dan dipantau secara berpusat. 

Sistem ini, katanya, akan menjadi “common center” moden yang memerlukan hanya beberapa pegawai untuk memantau semua isu secara real-time.

“Hotline ini bukan sekadar nombor. Ia platform digital yang memudahkan semua aduan masuk ke satu dashboard. Dari situ kita pantau dan ambil tindakan. Sistem itu sudah ada, cuma kita perlu laksanakan,” jelasnya.

Beliau berkata, sesi dialog berkala bersama penduduk turut akan diadakan untuk mengesahkan maklumat, menyemak keutamaan dan memastikan setiap masalah di taman serta kampung di Darau diurus dengan pendekatan lebih profesional.

Razali menegaskan bahawa perubahan ini penting untuk memastikan setiap isu penduduk di Darau diselesaikan secara tersusun, bukan lagi mengikut aduan harian tanpa perancangan. 

Katanya, Darau memerlukan pentadbiran yang responsif, moden dan berasaskan data, bukan reaksi spontan tanpa hala tuju.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama