UMS Tubuh Fakulti Undang-Undang Kukuh Akses Pendidikan Perundangan

 

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menubuhkan Fakulti Undang-Undang pertama di negeri ini selepas menerima kelulusan penuh Jemaah Menteri.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkembangan itu penting bagi memperkukuh akses pendidikan berkualiti termasuk pengajian perundangan di Sabah.

“Penubuhan fakulti baharu turut mendapat lampu hijau Majlis Peguam yang tidak mempunyai sebarang halangan untuk UMS membangunkan pusat pengajian undang-undang sendiri.

“Kita beri ruang kepada UMS. Jika mereka boleh laksanakan segera, silakan. Tiada tempoh menunggu, dan kita berharap proses dipercepatkan kerana pendaftaran baharu sudah dibuka,” katanya pada Sesi Makan Malam Santai Bersama Menteri Pengajian Tinggi, pada Sabtu.

Menurutnya, persediaan fizikal dan akademik fakulti itu dijangka mengambil masa antara enam bulan hingga setahun sebelum beroperasi sepenuhnya.

Zambry turut memaklumkan bahawa Pusat Rawatan Primer Hospital Universiti UMS dijangka mula beroperasi pada 10 Disember, dilengkapi 25 bilik konsultasi dan akan menjadi antara yang terbesar dalam rangkaian hospital universiti di Malaysia.

“Pusat konsultasi pakar ini adalah antara yang terbesar berbanding hospital universiti lain. Kita doakan Hospital Universiti UMS menjadi antara yang terbaik di negara kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 21 projek bernilai RM1.014 bilion telah diluluskan untuk Sabah tahun depan di bawah RMK13, merangkumi pembangunan di UMS, UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Beliau turut menekankan keperluan menyediakan asrama di Kolej Komuniti, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman bagi menampung pelajar dari lokasi jauh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama