KOTA KINABALU: Program Jerayawara Parlimen Belia Malaysia (PBMy): "Suara Belia, Suara Demokrasi" membuka ruang inklusif kepada golongan muda Sabah untuk menyuarakan pandangan, cabaran dan aspirasi mereka secara langsung kepada institusi Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata suara belia merupakan nadi penting kepada masa depan demokrasi negara dan perlu diraikan melalui platform yang terbuka, berstruktur serta progresif.
Menurut beliau, realiti yang dihadapi
belia seperti tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang tidak menentu, isu
polarisasi sosial serta kesejahteraan mental memerlukan pendekatan dasar yang
lebih responsif dan berpaksikan keperluan generasi muda.
"Saya mahu mendengar terus
daripada belia, tanpa tapisan. Negara ini milik generasi muda, dan Parlimen
mesti menjadi ruang yang memastikan suara mereka diterjemahkan kepada
dasar," katanya ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut di Dewan
Kuliah Pusat 2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Ahad.
Jelasnya, sesi libat urus seumpama itu
penting bagi memahami aspirasi belia secara menyeluruh supaya setiap dasar yang
digubal benar-benar mencerminkan keperluan mereka pada masa kini dan masa
hadapan.
Katanya, jerayawara tersebut merupakan
kesinambungan daripada sesi Townhall yang diadakan di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) pada 5 dan 6 November lalu, yang menyaksikan penubuhan lima
parti belia iaitu DemNas, GENERASI, PGP, PRISMA dan GSB.
Johari menyifatkan penubuhan
parti-parti belia itu sebagai perkembangan positif yang menggambarkan
kematangan politik serta kesediaan golongan muda untuk terlibat secara aktif
dalam proses demokrasi negara.
"Apabila belia berani
mengorganisasi diri, membentuk parti, berhujah secara rasional dan bersedia
memimpin, itu tanda Malaysia sedang menuju masa depan demokrasi yang lebih
matang," katanya.
Ujar beliau, penglibatan aktif belia
dalam PBMy berupaya melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti, celik
demokrasi serta bersedia mendepani cabaran ekonomi dan sosial negara.
"Kita mahu melahirkan pemimpin
yang bukan sahaja fasih berbahas, tetapi matang berfikir, menghormati perbezaan
dan berfakta dalam membuat keputusan," tambahnya.
Penganjuran jerayawara di Sabah,
tegasnya, turut menzahirkan komitmen Parlimen Malaysia untuk memperkasa suara
belia di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Sabah memiliki kelompok
belia yang dinamik, kritikal dan penuh idealisme, justeru wajar diberikan ruang
lebih luas dalam proses penggubalan dasar negara.
Seramai 136 belia dan mahasiswa
daripada UMS, MAHSA College Sabah, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)
Kinarut, Kolej Komuniti Papar dan Kolej Vokasional Likas menyertai program
sehari tersebut.
.jpg)