KOTA MARUDU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda, komited untuk memperkasa ekonomi wanita melalui usaha kecil berasaskan rumah yang mampu menjana pendapatan berterusan untuk setiap keluarga.
Menurutnya, pengalaman turun padang selama ini membolehkannya melihat potensi besar wanita Bandau yang jarang disedari oleh orang luar.
“Saya melihat hobi-hobi daripada wanita-wanita ini yang orang lain tidak tahu, yang boleh digunakan untuk menambahkan sumber pendapatan setiap isi keluarga.
“Jadi atas sebab itulah saya ingin membawa dari segi ekonomi ini bermula daripada rumah, bermula daripada rumah untuk memulakan perniagaan kerana kejayaan itu bermula daripada usaha yang kecil, perniagaan yang kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diitemui pemberita selepas Kempen Rumah Kita, Kita jaga (GRS) Dun N.06 Bandau bertempat di PDM Bongon, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berkata usaha memperkukuh ekonomi keluarga melalui golongan wanita bukan perkara baharu, tetapi kesinambungan program yang telah dilaksanakannya sejak penggal lalu.
Katanya, dengan hampir 50 peratus pengundi Bandau terdiri daripada wanita, Redonah mengakui sokongan golongan itu menjadi kekuatan terbesarnya.
“Bermula daripada zaman belia-belia lagi dulu bersama-sama dengan mereka dan sampai sekarang masih lagi bersama-sama dengan saya, ditambahlah dengan anak-anak mereka, anak-anak daripada rakan-rakan wanita ini.
"Jadi jentera itu sudah lagi bertambah dan pengundi-pengundi lagi bertambah dan yang separuh itu yang akan membawa keluarga-keluarga mereka untuk mengundi dengan saya, insya Allah,”jelasnya.
Susulan itu, beliau berjanji untuk memperluas program latihan, sokongan modal mikro dan rangkaian pemasaran bagi membantu wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Sementara itu, mengulas berhubung kehadiran calon Perikatan Harapan (PH) di Bandau yang dikatakan bertindih dengan GRS, Redonah menerima perkara itu sebagai lumrah demokrasi.
“Kita demokrasi, siapa-siapa boleh bertanding, seperti yang kita ketahui Bandau ini cukup meriah, ada 13 calon-calon.
"Namun saya yakin dan percaya pengundi-pengundi di Bandau ini adalah pengundi yang bijaksana, mereka tidak akan membuang undi mereka sia-sia, Insya-Allah,” ujarnya.
