KOTA KINABALU: Seramai 15 saintis
Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila
tersenarai dalam kelompok dua peratus teratas Saintis Terbaik Dunia
2025.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr.
Kasim Mansor berkata kejayaan itu adalah hasil usaha tanpa henti, tekad yang
kukuh serta kesungguhan warga akademik berkongsi pengetahuan dan hasil
penyelidikan melalui penerbitan berimpak tinggi.
“Pengiktirafan antarabangsa yang
diterbitkan Universiti Stanford dengan kerjasama Elsevier berasaskan analitik
sitasi merentas disiplin ini membuktikan penyelidikan UMS bukan sahaja
dihormati komuniti ilmiah, malah mempunyai pengaruh global yang terukur.
“UMS juga mengekalkan penarafan lima
bintang dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) 2024, sekali gus menjadi
penyumbang besar kepada perkembangan dan pembangunan universiti,” katanya
ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2025, pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan oleh Canselor
UMS merangkap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman yang hadir bersama
isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Menurut Kasim, penganjuran anugerah itu
bertujuan memberi penghargaan kepada penyelidik yang berjaya mengharumkan nama
UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau berkata, UMS turut memperkukuh
jaringan global melalui beberapa kolaborasi antarabangsa seiring penekanan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap penyelidikan boleh terjemah, TVET
dan hubungan industri-komuniti.
“Selain menjalin kerjasama strategik
dengan syarikat antarabangsa McDermott, UMS turut bekerjasama dengan
Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia dan Research Institute for
Humanity and Nature (RIHN) Jepun selaras dengan peranan UMS
sebagai The Brain of Borneo.
“Kolaborasi ini menyokong perkongsian
ilmu dan penyelidikan yang menepati keperluan industri serta menyumbang kepada
pertumbuhan inklusif dan pembangunan berasaskan inovasi,” ujarnya.
Menurut Kasim, UMS juga melancarkan
tiga syarikat pemula perintis di bawah Dasar Start-Up & Spin-Off (SUSO)
bagi mempercepatkan penterjemahan dapatan makmal ke pasaran serta memupuk
budaya keusahawanan berasaskan ilmu.
“Melalui SUSO, pasukan penyelidik
dibimbing dari aspek perlindungan harta intelek, pengesahan pasaran,
pembangunan model perniagaan hinggalah pelaksanaan perintis. Ini memastikan
penyelidikan UMS relevan dari sudut ilmiah dan komersial,” jelasnya.
Dalam majlis berkenaan, lebih 40
penyelidik menerima anugerah merangkumi pelbagai kategori, termasuk Anugerah
Ikon MyRA, Anugerah Buku Terlaris dan Anugerah Jurnal Terbaik.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa), Profesor Dr. Rossita Shapawi turut menerima Anugerah Khas Tun
Canselor yang disampaikan sendiri oleh Canselor UMS, Tun Musa Aman.
