Inisiatif Pendidikan Dilaksana Bantu Anak Tempatan Sabah

 

KOTA KINABALU : Pelbagai inisiatif pendidikan dilaksanakan bagi membantu anak-anak tempatan Sabah melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S). 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menumpukan perhatian terhadap pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat melalui bantuan dan biasiswa pendidikan.

"Saya telah perkenalkan satu lagi inisiatif bantuan untuk mereka yang belajar di IPTA/S di Sabah yang mahu balik kampung semasa Hari Raya, Kaamatan ataupun Krismas. 

"Bantuan sebanyak RM300 seorang diberikan kepada pelajar di Sabah dan RM600 kepada pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

"Saya sedar perlu ada sesuatu yang kita buat kerana ada dalam kalangan anak-anak kita dari kampung yang masih susah," katanya ketika berucap semasa Majlis Penutupan Hari Sukan dan Sambutan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Parlimen Tuaran di Dewan Seri Sulaman, pada Khamis. 

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan biasiswa kepada RM145 juta setahun.

"Tahun ini sahaja seramai 12,000 lebih pelajar menerima manfaat biasiswa itu, melibatkan 2,000 pelajar Cina, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 5,000 Bumiputera Islam.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri berlaku adil dalam menyalurkan bantuan kepada semua kaum,” ujarnya dalam program yang dihadiri 2,000 ahli UPPM Parlimen Tuaran itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan bantuan kepada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima sebelum menduduki peperiksaan dengan bayaran RM200 setiap seorang.

Menurut Hajiji, bantuan itu melibatkan hampir 40,000 pelajar setiap tahun dan dianggarkan 160,000 pelajar mendapat manfaat sepanjang pelaksanaannya.

Hadir sama Pegawai Daerah, Ibrahim Terki dan Pengerusi Penganjur Murneh Lamsari.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama