KIMANIS: Barisan Nasional (BN) yakin kembali merampas dua kerusi penting, Bongawan dan Membakut pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah kali ini menerusi dua nama yang dianggap mempunyai reputasi kukuh di peringkat akar umbi.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keyakinan itu disandarkan kepada kemampuan serta hubungan rapat dua bakal calon berkenaan dengan masyarakat setempat, khususnya Datuk Mohammad Alamin di Bongawan dan Tuan Haji Rosman di Membakut.
Menurut beliau, Mohammad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis telah menunjukkan rekod perkhidmatan baik melalui pelbagai usaha pembangunan, termasuk membawa isu banjir setempat untuk diselesaikan secara berterusan.
Rosman pula, katanya, mempunyai kelebihan tersendiri sebagai bekas guru yang disenangi penduduk dan dekat dengan golongan muda.
“Saya jangkakan Haji Rosman ini bekas cikgu, dia tahu macam mana hendak dekat dengan anak-anak muda.
“Datuk Moh pula memang individu yang sudah dikenal dan disenangi rakyat di kawasan ini. Sebagai Ahli Parlimen Kimanis, banyak yang telah dibuat dan banyak juga cadangan lain yang sedang diperjuangkan, terutama isu banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramah Mesra dan Makan Tengah Hari bersama Penduduk PDM Brunei di Membakut, hari ini.
Mohamad berkata, berdasarkan prestasi kedua-dua pemimpin itu, beliau yakin penduduk Bongawan dan Membakut akan terus memberikan sokongan kepada BN pada PRN kali ini.
“Saya yakin penduduk Membakut dan Bongawan akan terus memberi dokongan kepada BN melalui dua calon kami ini, insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, BN turut menegaskan fokus utama di Kimanis akan terus menjurus kepada penyelesaian isu banjir, penambahbaikan infrastruktur serta kepentingan rakyat di peringkat tempatan.
Disiarkan pada:
