KOTA KINABALU: DAP Sabah dijangka berdepan pertembungan sengit dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong selepas parti itu disahkan akan bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah kali ini.
Keputusan tersebut sekali gus mengesahkan bahawa kerusi Liawan di Keningau diserahkan kepada Barisan Nasional (BN) selepas rundingan panjang antara DAP dan UMNO mencapai kata putus berhubung agihan kerusi di kawasan pedalaman.
Menurut sumber dalaman parti, DAP dan UMNO telah mengadakan beberapa siri perbincangan sejak beberapa bulan lalu bagi memuktamadkan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti komponen kerajaan perpaduan itu.
“Dua kerusi yang sebelum ini menjadi isu ialah Liawan dan Kemabong, di mana kedua-duanya turut menjadi sasaran DAP untuk ditandingi.
“Namun selepas rundingan berpanjangan, dipersetujui bahawa UMNO akan bertanding di Liawan, manakala DAP mengambil Kemabong,” kata sumber berkenaan.
Difahamkan, DAP akan menampilkan bekas Ahli Parlimen Tenom yang juga Senator, Noorita Sual, sebagai calon di Kemabong. Noorita pernah memenangi kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan tewas tipis pada PRU15, namun masih mengekalkan sokongan kukuh di kawasan asalnya itu.
Sumber itu berkata, keputusan menumpukan kepada Kemabong dibuat berdasarkan faktor kekuatan akar umbi dan potensi kemenangan, meskipun tindakan meninggalkan Liawan dikatakan mengecewakan sebahagian penyokong di Keningau.
“Data menunjukkan DAP lebih berpeluang menang di Kemabong berbanding Liawan.
“Walaupun DAP pernah bertanding di kedua-dua kawasan itu sebelum ini, keputusan pilihan raya lepas membuktikan cabaran di Keningau jauh lebih sukar,” katanya.
Keputusan itu juga dianggap sebagai langkah strategik selepas mengambil kira keadaan politik semasa serta peningkatan jumlah parti yang dijangka bertanding di kawasan pedalaman, menjadikan pertandingan kali ini lebih sengit dan berpecah undi.
Sumber turut mendedahkan bahawa Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, terpaksa membuat keputusan sukar selepas menilai pelbagai faktor, termasuk kekuatan jentera, pengaruh calon dan sentimen pengundi tempatan.
Sementara itu, penganalisis melihat pemilihan Noorita sebagai langkah bijak memandangkan beliau masih mempunyai pengaruh kuat di Kemabong serta reputasi bersih berbeza dengan lawannya, Rubin Balang, yang kini dikaitkan dengan isu video rasuah yang tular baru-baru ini.
Walaupun Liawan terpaksa dikorbankan, keputusan itu dianggap realistik dan pragmatik berdasarkan rekod DAP yang gagal menembusi kawasan Bingkor dan Keningau dalam tiga pilihan raya berturut-turut, masing-masing pada 2018, 2020 dan 2022.
