GRS gesa Persekutuan hormati hak 40 peratus hasil Sabah

 

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - ihsan GRS

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa hak negeri ini terhadap 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah adalah hak Perlembagaan yang wajib dihormati dan bukan sekadar isu perundangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, gabungan terbabit berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu yang mengesahkan hak tersebut sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mahkamah ini hanyalah pelaksanaan terhadap apa yang telah lama termaktub dan dipersetujui. Ini bukan soal undang-undang semata-mata, tetapi soal maruah perlembagaan,” jelas dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, GRS turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu keputusan berkenaan. 

Jelasnya, ini kerana mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan pemberian khas dilaksanakan mengikut peruntukan perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Sabah (EPU) dan Jabatan Peguam Besar Negeri meneliti alasan penghakiman tersebut bagi membolehkan rundingan bermakna dengan Kerajaan Persekutuan diadakan bagi menuntut hak yang sewajarnya.

GRS menegaskan kelewatan menunaikan hak Sabah memberi kesan besar kepada rakyat yang terus berdepan kekurangan kemudahan asas, terutama di kawasan luar bandar. 

“Tuntutan Sabah bukanlah satu permintaan, tetapi satu hak perlembagaan yang melangkaui kerajaan dan penggal politik,” katanya.

Disamping itu, gabungan tersebut turut memberi jaminan bahawa Sabah akan terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Hajiji sambil menzahirkan sokongan padu kepada Perdana Menteri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama