Tiada kenaikan harga LPG, jangan sabotaj kerajaan sendiri - Armizan sangkal Bung


KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengaitkan kononnya berlaku kenaikan harga gas memasak (LPG) di Sabah.

Armizan berkata, dakwaan itu bukan saja tidak tepat, malah boleh menimbulkan persepsi salah terhadap kerajaan sendiri kerana urusan LPG adalah di bawah Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

“Sehingga hari ini, harga gas memasak LPG masih kekal. Tidak dinaikkan dan kerajaan tetap teruskan subsidi. 

“Itu bidang kuasa kerajaan Datuk sendiri. kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri yang selalu Datuk hentam,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS turut menyifatkan tindakan Bung sebagai tidak wajar kerana ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan pusat yang turut diterajui parti Bung gagal menguruskan isu tersebut.

“Tidak bagus sabotaj kerajaan Datuk sendiri dan paling ndak bagus mengelirukan rakyat,” katanya 

Dalam masa sama, Armizan menegur tindakan jentera BN Sabah yang menyebarkan infografik pencapaian ‘Bung Speed’ ketika Bung menjadi Menteri Kerja Raya, yang memaparkan senarai projek dituduh sebagai kejayaan besar.

Katanya, projek-projek itu sebenarnya hanyalah kerja rutin yang memang mempunyai peruntukan sedia ada seperti tampal jalan mendap, naik taraf jalan kampung, baik pulih tebing runtuh dan penyelenggaraan asas.

Apa yang lebih penting, katanya, ialah penyelesaian isu legasi yang sudah berlarutan bertahun-tahun seperti masalah air dan elektrik yang gagal ditangani sewaktu Bung masih dalam kerajaan.

“Projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon, Loji Rawatan Air Cintamata Dua dan pembinaan rangkaian grid elektrik Southern Link… semuanya hanya dapat digerakkan selepas GRS ambil alih,” katanya.

Armizan berkata beliau tidak berminat menyerang sesiapa, namun terpaksa tampil memperbetulkan fakta yang disifatkannya sudah ‘lari jauh’ daripada kebenaran.

“Saya hanya pertahankan parti saya dengan fakta, bukan auta,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama