KOTA KINABALU: Penduduk dan pengundi bagi kawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan Karambunai diseru supaya mengekalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah pada 29 November ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta agenda kesejahteraan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Calon GRS Darau, Datuk Mohamed Razali Razi@Bob ketika berucap pada Program Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di perkarangan Masjid Al-Munir Kampung Darau malam tadi, menegaskan bahawa perubahan yang diinginkan rakyat hanya akan berlaku jika kerajaan yang stabil dikekalkan.
Beliau berkata, GRS telah turun ke lapangan lebih tiga tahun dengan rekod kerja, bukti dan prestasi, bukan dengan janji kosong atau retorik politik.
“Budaya kita di Darau dan Karambunai bukan memulakan lidah dengan berbohong. Kita turun dengan amal, kita turun dengan kerja,” katanya.
Razali turut menyentuh keluhan penduduk yang mendakwa tiada saluran tepat untuk mengadu, mendapatkan bantuan atau menyuarakan keperluan komuniti.
Justeru itu katanya, GRS komited menyediakan platform lebih berstruktur dan responsif agar rakyat tidak lagi merasa terpinggir.
Menurutnya lagi, kestabilan politik adalah asas kepada pembangunan, dan ia hanya dapat dijamin jika GRS dikekalkan sebagai pemerintah negeri.
Razali menegaskan bahawa Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor ialah, pemimpin yang membawa politik matang berasaskan idea, perancangan dan penyelesaian, bukan politik kebencian.
“Untuk mendapatkan kerajaan yang baik, kita perlukan pemimpin yang baik. Dan di Sabah, pemimpin itu ialah Datuk Seri Hajiji,” tegasnya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa tindakan kerap menukar kerajaan hanya merugikan rakyat, kerana dasar serta pembangunan akan terhenti setiap kali berlaku perubahan pentadbiran.
“Kalau tukar kerajaan, putus lagi. Rakyat rugi,” katanya.
Razali sekali lagi, menyeru pengundi Darau dan Karambunai untuk bersatu dan membuat keputusan berdasarkan masa depan negeri, bukan emosi atau sentimen sempit.
“Pilihan raya bukan macam hari raya yang datang setiap tahun. Ini penentuan lima tahun nasib kita.
"Kami merayu ruang untuk menjadi wakil suara rakyat. Bukan untuk diri Razali, bukan untuk Arshad, tetapi untuk semua orang Darau dan Karambunai," ujarnya.
