Penerima SARA menyentuh hati PM: Anwar janji lebih banyak bantuan selepas PRN

Anwar(kanan) ketika bertemu bersama seorang penerima SARA di Sulaman, Tuaran, pagi tadi.
Ihsan: Fb Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan janji bahawa lebih banyak bantuan akan disalurkan kepada rakyat selepas pilihan raya nanti. 

Anwar berkata pengalaman beliau bertemu secara langsung Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Tuaran membuktikan bantuan itu benar-benar memberi kesan besar kepada rakyat yang memerlukan. 

“Tadi pagi saya pergi ke Sulaman, kawasan Hajiji. Kami pergi minum air kelapa dan keluar dari kedai, ada seorang wanita. 

“Dia kata, ‘Datuk, saya tunggu dari 1984. Saya doa Datuk jadi Perdana Menteri. Sekarang Datuk sudah jadi Perdana Menteri.

“Doa saya tak salah sebab Datuk jadi Perdana Menteri, saya dapat SARA. Datuk bagi beras dan minyak masak’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Harapan Urang Sabah yang bertempat di Kompleks Sukan Likas, di sini, hari ini. 

Menurutnya, beliau mengakui bahawa reaksi wanita itu benar-benar menyentuh hatinya.

“Fikir. It’s a small matter. It’s not big. Tapi tengok this lady, dapat beras SARA dan minyak, dia tersentuh. Saya pun tersentuh. Tengok dia, saya pun sedih,” jelasnya. 

Anwar menegaskan bahawa maklum balas tersebut membuktikan program bantuan yang telus dan bersasar itu memberi impak yang baik kepada rakyat.

“Kalau macam ini dengan SARA, jangan risau, more SARA will come,” katanya disambut sorakan penyokong.

Beliau menambah, pengajaran paling bermakna dalam pentadbiran sering datang daripada rakyat biasa yang bercakap dengan jujur, bukan daripada menteri atau di Parlimen. 

“Dari mana saya belajar? Bukan dari Ahli Parlimen, bukan Timbalan Menteri, bukan ADUN atau Menteri. 

“Dari kampung Sulaman itu kerana dia cakap dari hati. You can see how sincere she was and it really touched my heart. 

“Saya kata, kalau macam inilah orang menghargainya, we have to do more,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama