KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok mengumumkan kadar tambang bagi laluan Menumbok ke Wilayah Persekutuan Labuan akan kembali kepada kadar asal sebanyak RM9 bermula hari ini.
Perkara itu diputuskan selepas sesi libat urus antara persatuan berkenaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta beberapa agensi lain yang diadakan pada 10 November 2025.
Menurut kenyataan rasmi persatuan itu, keputusan berkenaan dibuat susulan kelulusan pemberian subsidi bahan bakar (petrol) kepada semua operator bot laju yang terlibat dalam perkhidmatan penumpang di laluan tersebut.
“Berdasarkan keputusan mesyuarat bersama KPDN dan agensi terlibat, kadar tambang bagi laluan Menumbok–Labuan akan kembali kepada kadar asal RM9 mulai 11 November 2025.
“Kami amat menghargai sokongan semua pengguna dan memohon maaf atas segala kesulitan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Persatuan itu turut menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan perkhidmatan bot laju antara Menumbok dan Labuan kekal efisien, selamat serta mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.
