KOTA KINABALU: Bagi
memperkukuh pelaksanaan agenda Ekonomi Biru di negeri ini, kerajaan negeri
Sabah hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama
Maybank Group Global Banking
Majlis menandatangani MoU itu
disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara
Kinabalu bagi menandakan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah
sebagai peneraju utama dalam pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan
maritim di rantau ini.
Menurut Hajiji, MoU tersebut merupakan
langkah penting bagi memperkenalkan Pembiayaan Mampan Berasaskan Ekonomi
Biru (Blue Financing) yang akan membuka akses kepada kemudahan
kewangan bagi projek, kajian dan syarikat yang memberi impak positif kepada
ekonomi serta alam sekitar, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana
(PMKS).
“Melalui kerjasama ini, Maybank bukan
sahaja menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut memberi khidmat nasihat,
pemantauan serta jaringan industri bagi membantu pelaksanaan projek-projek
ekonomi biru di Sabah.
"Pembiayaan biru berperanan
sebagai pemangkin transformasi Ekonomi Biru melalui penerapan teknologi tinggi,
pembangunan hab penyelidikan dan pembangunan (R&D), harta intelek (IP),
pewujudan peluang pekerjaan serta pengukuhan daya saing ekonomi negeri,"
ujar beliau.
Jelas Hajiji, Sabah memiliki garis
pantai sepanjang 2,383 kilometer dan kawasan perairan yang luas, menjadikannya
antara negeri paling berpotensi membangunkan ekonomi berasaskan laut di
Malaysia.
“Namun, potensi besar ini belum
dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini. Maka, Dasar Ekonomi Biru Sabah
diperkenalkan untuk mempelbagaikan struktur ekonomi negeri dan memastikan
pembangunan yang mampan serta inklusif,” katanya.
Beliau menegaskan, kerjasama strategik
dengan Maybank itu akan membantu menjadikan Sabah hab Ekonomi Biru yang
progresif dan mampan, seterusnya memberi manfaat langsung kepada rakyat dan
komuniti pesisir melalui peningkatan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.
"Sebagai langkah memperkukuh
pelaksanaan dasar berkenaan, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Ekonomi Biru
Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu sebagai platform penyelarasan utama bagi dasar
dan strategi pelaksanaan ekonomi biru.
"Malah, penubuhan MEBS itu
membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memacu potensi laut dan sumber maritim
negeri secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi, sejajar aspirasi Hala
Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," jelas beliau.
Beliau turut menyorot kejayaan
pelaksanaan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu
dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi membangunkan Pelabuhan Bertaraf
Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam
satu langkah penting dalam memperkukuh nilai tambah industri perikanan
negeri.
"Selain itu, pewujudan Taman
Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat akan menjadi pemangkin kepada pelaburan
teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut
bernilai tambah tinggi.
"Sabah International Blue Economy
Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan
luar negara, sebagai bukti bahawa Sabah kini diiktiraf di peringkat
antarabangsa dalam bidang pembangunan ekonomi biru," tambah beliau.
Hajiji turut merakamkan penghargaan
kepada Maybank atas kepercayaan dan komitmen mereka dalam merealisasikan
inisiatif Blue Financing di Sabah.
"Saya menyeru kepada semua
usahawan muda dan pemain industri agar turut bersama kerajaan negeri dalam
menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai
pemangkin transformasi ekonomi biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan
datang,” katanya lagi.
