KOTA BELUD: Perpaduan antara parti-parti tempatan merupakan kunci kepada kestabilan politik dan pembangunan berterusan di negeri ini.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam walaupun sesebuah parti mempunyai calon terbaik, tanpa perpaduan dan kerjasama, usaha politik tetap tidak akan berhasil.
“Walaupun kita mempunyai calon terbaik, tanpa perpaduan, usaha kita tetap tidak akan berhasil. Kredibiliti, tanggungjawab dan kerja bersepadu adalah kunci kejayaan dalam politik.
“Calon mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dengan parti dalam GRS. Solidariti dan perpaduan adalah asas kejayaan.
“Perpaduan politik adalah asas kepada semua kejayaan kita. Kita mesti bekerjasama untuk masa depan negeri yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika, Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kadamaian, di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda, Datuk Christoper Mandut dan Ketua Bahagian PBS Kadamaian, Demis Rumanti.
Joachim turut menerangkan sejarah penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hampir empat tahun lalu, yang telah menyatukan PBS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), United Sabah National Organisation (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liberal Democratic Party (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
“Penyatuan ini bukan sahaja mengukuhkan pengaruh politik kita, tetapi juga memastikan kerjasama dalam pembangunan Sabah,” katanya.
Dalam aspek pembangunan, Dr. Joachim menekankan program kerajaan GRS seperti Rumah Mesra SMJ dan sokongan pendidikan yang bertujuan membangunkan modal insan serta menyediakan peluang pekerjaan bagi generasi muda Sabah.
“Matlamat kita adalah menstabilkan politik, menarik pelabur asing dan meningkatkan pendapatan negeri. Kita telah berjaya menggandakan pendapatan negeri daripada kurang RM4 bilion kepada hampir RM8 bilion, dengan rizab kini RM8.6 bilion,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan kestabilan politik bagi menarik pelabur dan membolehkan pembangunan infrastruktur yang lebih baik.
“Perpaduan politik membolehkan kita memfokuskan tenaga dan sumber bagi kepentingan rakyat, bukan untuk konflik politik semata-mata,” jelasnya.
Menurut beliau, GRS komited untuk membangunkan modal insan sebagai asas untuk menarik pelabur asing dan mewujudkan pekerjaan berkualiti bagi rakyat Sabah.
“Jika kita tidak membina tenaga kerja terlatih, pelaburan sukar untuk berkembang di negeri ini,” katanya
Beliau turut menekankan bahawa PBS, sebagai salah satu parti tertua dan paling aktif di Sabah dengan sejarah lebih 40 tahun, terus mengekalkan komitmen terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Parti kita tidak pernah tidak aktif dan sentiasa bergerak serta berjuang untuk rakyat Sabah,” tambah beliau, yang juga penyandang ADUN Kundasang.
Beliau menegaskan bahawa misi PBS kekal konsisten: menuntut hak rakyat, memperbaiki sekolah, klinik kesihatan dan infrastruktur, serta memastikan pembangunan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
