PENAMPANG: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan keikhlasan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung janji untuk meletakkan sumber asli Sabah di bawah pengurusan Yayasan Sabah, dengan mendakwa ia hanyalah usaha memancing undi.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata Shafie mempunyai kuasa penuh untuk melakukan reformasi tersebut ketika menjadi Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020.
“Mari kita lihat dengan teliti, Shafie memiliki lebih dua tahun berkuasa dengan kawalan eksekutif penuh.
“Jika benar beliau percaya sumber asli Sabah perlu diletakkan di bawah Yayasan Sabah demi rakyat, mengapa beliau tidak melaksanakannya ketika itu?,”katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Menurut Mandela, janji itu sekadar cubaan ‘menarik sokongan’ dengan mencipta gambaran seolah-olah Warisan serius mahu melakukan perubahan, sedangkan peluang itu telah ada sejak dahulu.
Beliau turut menolak alasan Shafie bahawa Warisan hanya mentadbir ‘sekitar dua tahun’.
“Jika benar itu halangannya, jelas sekali keutamaannya ketika berkuasa adalah di tempat lain bukan pada janji-janji yang beliau buat hari ini,”jelasnya.
Beliau merujuk kepada janji Shafie dalam ‘mega ceramah’ di Inanam baru-baru ini, dengan berkata langkah memberikan kuasa besar pengurusan sumber kepada Yayasan Sabah mesti datang dengan tadbir urus ketat, sesuatu yang tidak dilakukan Shafie semasa memimpin.
“Sekarang setelah tidak lagi berkuasa, beliau kembali menghidupkan visi yang besar. Tapi di mana visi ini ketika beliau memegang kuasa?,”katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan sumber mesti menguntungkan rakyat Sabah, dari segi pendidikan, infrastruktur tempatan dan pembangunan komuniti.
“Rakyat Sabah sudah penat dengan janji besar yang tidak ditunaikan. Kita perlu menilai pemimpin berdasarkan apa yang mereka lakukan, bukan apa yang mereka kata setelah hilang kuasa,”ujarnya.
Katanya lagi, beberapa dasar Warisan termasuk larangan eksport balak pada 2018 dilihat hanya bersifat luaran tanpa pembaharuan institusi yang sebenar.
Beliau mendakwa ketika pentadbiran Shafie, berlaku kebimbangan mengenai hasil kayu Sabah yang tidak sepenuhnya diterima kerajaan atau Yayasan Sabah.
Terdapat laporan mengenai rampasan balak berskala besar, tetapi bekas Ketua Konservator Hutan, Datuk Sam Mannan, kemudian mendakwa dakwaan pembalakan haram itu telah dibesar-besarkan.
“Sabah kehilangan sekurang-kurangnya RM10 juta akibat penyitaan balak yang menurutnya tidak menyalahi peraturan.
“Jika Shafie Apdal benar-benar serius dengan visinya, beliau perlu menjawab rekod pentadbirannya.
“Peluang sudah ada, kini beliau mesti jelaskan mengapa beliau gagal, dan bagaimana beliau merancang untuk berjaya kali ini. Sabah berhak mendapat jawapan,” ujar beliau.
Di bawah GRS, Mandela berkata, kerajaan negeri berjaya merundingkan geran meningkat kepada RM125.6 juta (2022), RM300 juta (2023), RM306 juta (2024) dan RM600 juta bermula 2025, sambil mengekalkan tuntutan 40 peratus hak hasil Sabah.
“GRS tidak akan berhenti sehingga Sabah mendapat haknya yang termaktub dalam Perlembagaan, bukan sekadar geran simbolik,”katanya.
Mengaitkan rekod ekonomi Warisan, Mandela berkata hasil negeri sekitar RM4.2 bilion pada 2019 dan mendakwa pentadbiran kini berjaya meningkatkan hasil dan rizab negeri.
Beliau mengingatkan pengundi yang menghadiri ceramah Warisan supaya tidak terperangkap dengan emosi.
“Apabila seorang pemimpin dan partinya terdesak mahu menang pilihan raya, mereka akan berkata apa sahaja. Mereka akan mainkan emosi, Inilah yang Warisan mahukan,” tambahnya.
