PBS tuntut kerusi Bingkor, namun Rafie Robert calon ‘favourite’ pengundi – Sumber


KOTA KINABALU: Pertikaian kecil mengenai pembahagian kerusi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) timbul menjelang pengumuman penuh calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 apabila kerusi DU Bingkor dikatakan turut dituntut oleh Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bagaimanapun, menurut sumber yang dekat dengan pimpinan GRS, nama Rafie Robert Tawik, 38, anak jati kelahiran Bingkor semakin kuat disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk mewakili gabungan itu di kerusi berkenaan, hasil sokongan akar umbi dan pengaruhnya dalam kalangan pengundi muda.

“Memang ada rundingan dalaman mengenai kuota kerusi Bingkor kerana PBS juga berminat, tetapi di peringkat akar umbi, nama Rafie lebih menonjol dan diterima ramai.

"Beliau dianggap calon ‘favourite’ berdasarkan rekod dan keterlibatannya dalam masyarakat,” kata sumber itu.

Rafie yang kini memegang jawatan Setiausaha Pemuda GRS Pusat serta Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau, dilihat sebagai pemimpin muda yang aktif dan berwawasan.

Beliau juga Naib Presiden Sabah Football Association (SAFA) dan pernah berkhidmat sebagai Pengurus Sabah FC bagi musim 2024/2025, di mana pasukan itu berjaya mengekalkan kedudukan tiga teratas liga.

Selain itu, pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Tadbir (Board of Governance) Geomatika College Keningau pada Ogos lalu menambah kredibilitinya sebagai tokoh muda yang berperanan besar dalam bidang pendidikan tempatan.

Di peringkat komuniti, Rafie turut dikenali sebagai Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, selain menjadi Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Daerah Keningau.

Beliau antara penggerak utama Crocker Range Festival, acara tahunan yang menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa ke Keningau, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi komuniti pedalaman.

Pemerhati politik tempatan, Harry Gitik, berkata kemunculan Rafie dalam senarai sebutan calon GRS menunjukkan keberanian parti mengetengahkan generasi muda yang berkaliber dan berpotensi besar memimpin kawasan pedalaman.

“Rafie bukan sekadar lambang tenaga muda, tetapi pemimpin yang memahami denyut nadi masyarakat luar bandar.

"Pendekatannya yang terbuka, mesra rakyat dan fokus terhadap pelancongan, pendidikan serta pembangunan sukan menjadikannya calon ideal di Bingkor,” katanya.

Menurut beberapa penduduk tempatan, Rafie sering turun padang menghadiri program komuniti serta mendengar sendiri pandangan rakyat di peringkat akar umbi.

Mereka menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang mudah didekati dan sentiasa berusaha memperkasa peranan anak muda dalam pelbagai bidang.

“Kalau GRS memilih Rafie, itu keputusan yang bijak. Bingkor perlukan pemimpin yang segar, aktif dan faham realiti masyarakat di sini,” kata seorang penduduk tempatan.

Daripada 55 kerusi yang dipertandingkan GRS dalam PRU DU Sabah kali ini, 51 calon sudah diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, manakala empat lagi termasuk Bingkor, Kukusan, Sebatik dan Tamparuli dijangka diumumkan esok.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama