Siapa yang kena ‘picit’: Warisan setuju RM53.4 juta atau GRS RM600 juta? – Joniston

 

KIULU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai membalas tuduhan yang mendakwa kononnya parti itu ‘tunduk’ (picit) dalam rundingan hak negeri. 

Menurutnya, angka yang direkodkan kerajaan negeri menunjukkan hasil selama lima tahun di bawah pentadbiran GRS yang jauh lebih tinggi berbanding kerajaan sebelum ini, terutama ketika era Warisan.

“Dulu waktu PBS, hasil negeri RM23 juta, masa WARISAN pula RM53 juta. Tetapi hari ini kita lihat Sabah sudah mencapai lebih RM600 juta. 

“Jadi, siapa sebenarnya yang kena picit? Yang dapat RM53 juta atau yang bawa masuk RM600 juta?,” katanya ketika ditemui selepas program jelajah kempen Rumah Kita, Kita Jaga  yang bertempat di Dewan Pekan Kiulu, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, GRS memilih pendekatan berunding secara matang dan berfakta, bukan bermain sentimen ataupun retorik politik yang tidak membawa hasil.

“Kita bukan datang untuk tunjuk berani saja. Kita mahu tunjuk hasil. Rakyat ingin dengar apa yang kita boleh bantu mereka, apa yang kita boleh buat untuk mereka, bukan bermain sentimen,” tegasnya.

Beliau turut mengangkat kejayaan rundingan dengan Petronas yang disifatkan sebagai salah satu pencapaian terbesar GRS dalam menerajui Sabah.

“Kita sekarang terima pulangan sehingga RM5.1 bilion. Tiada kerajaan terdahulu yang dapat membawa pulangan setinggi ini. 

“Inilah hasil bila kita duduk semeja, berunding dan pastikan hak Sabah dipertahankan dengan cara yang strategik,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, beliau menyatakan bahawa tindakan Hajiji yang berjumpa sendiri Perdana Menteri membuktikan pendekatan GRS bukanlah sekadar kenyataan politik.

“Ketua Menteri diam-diam pergi ke Kuala Lumpur, jumpa Perdana Menteri, sampaikan pendirian rakyat Sabah. Hasilnya, rayuan tidak diteruskan. Itu tindakan, bukan retorik.

“Perdana Menteri juga memberi jaminan, apa yang terkandung dalam 40 peratus itu, apa yang harus ditunaikan itu, akan ditunaikan cuma ada beberapa perkara yang harus dilihat dahulu sebelum mekanisme pembayaran itu dapat dimulakan,”tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama