Hanya auta Shafie, tiada rekod rasmi 17 perkara MA63 diselesaikan Warisan - Armizan


KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali membidas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang kononnya kerajaan pimpinan parti itu sebelum ini berjaya menyelesaikan 17 daripada 21 tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Armizan berkata, dakwaan itu tidak berasas dan tidak disokong sebarang rekod rasmi sepanjang tempoh Warisan memerintah Sabah dari 2018 hingga 2020, termasuk ketika parti itu mempunyai tiga menteri dalam kabinet Persekutuan.

“Ramai tanya saya pasal cerita ini sebab saya bekas Ketua Urusetia MA63 selama setahun. Bila semak semua dokumen urusetia di Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak (BHESS), tak ada apa-apa rekod yang menunjukkan 17 perkara itu selesai.

“Saya bangkitkan kepada Warisan tahun lalu, dan jawapan Presiden Warisan sendiri waktu itu hanyalah ‘belum selesai, tapi dipersetujui’. Tapi bila hampir pilihan raya, tiba-tiba jadi kononnya sudah berjaya,” katanya.

Menurut Armizan, dakwaan seperti itu hanya mengelirukan rakyat kerana istilah seperti ‘dipersetujui secara prinsip’ tidak membawa maksud sesuatu tuntutan telah diluluskan dan dilaksanakan sepenuhnya.

“Dalam urusan kerajaan, persetujuan dasar bukan bermaksud perkara itu selesai. Banyak benda dipersetujui dasar, tapi tak pernah pun dilaksanakan.

“Bukan sama ya… bangkitkan isu dengan berjaya selesaikan isu. Itu dua benda berbeza,” katanya.

Beliau turut mencabar Warisan menyenaraikan apa sebenarnya 17 perkara yang didakwa berjaya dicapai semasa mereka berkuasa.

“Saya hanya pernah dengar dua perkara yang mereka sebut, dan saya sudah ulas dalam video. Fakta tidak sama seperti yang mereka dakwa. 15 lagi mana? Saya serah pada Warisan jelaskan,” katanya.

Mengulas tuduhan bahawa beliau gagal semasa mengetuai urusetia MA63, Armizan berkata itu sekadar pandangan politik pihak tertentu.

Namun katanya, dalam tempoh setahun beliau memimpin urusetia berkenaan, lima perkara berjaya dibincang, dipersetujui dan dilaksanakan secara rasmi.

“Orang boleh cakap apa saja. Tapi saya biarkan fakta yang jawab,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama