Saya kerap ke Sabah kerana rakyat, bukan kepentingan peribadi - PM Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kehadirannya yang kerap ke Sabah bukan kerana kepentingan politik atau peribadi, sebaliknya bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terus terbela.

Beliau menolak tanggapan bahawa kunjungannya ke negeri di bawah bayu itu bermotifkan kepentingan peribadi.

Katanya, kunjungan ke negeri ini adalah hasil komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan Sabah tidak lagi ketinggalan berbanding negeri lain.

“Saya pernah jadi Menteri Kewangan dan sekarang Perdana Menteri. Dalam tempoh tiga tahun, saya Perdana Menteri yang paling banyak kali datang ke Sabah.

“Apa saya minta? Balak? Kontrak? Projek? Tidak ada. Saya datang hanya untuk bantu rakyat Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan MADANI Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Roslan Hussin.

Anwar berkata, sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara, Sabah menerima perhatian khusus daripada Kerajaan Persekutuan termasuk peningkatan peruntukan Pembangunan yang kini merupakan tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, tumpuan utama kerajaan adalah menambah baik kemudahan asas rakyat seperti jalan raya, sekolah, klinik desa dan hospital di seluruh negeri.

“Perbelanjaan kerajaan untuk Sabah bukan untuk kepentingan individu, tetapi bagi membangunkan sekolah, sektor kesihatan, menghantar lebih ramai doktor dan mengawal sempadan.

“Tahun ini juga adalah tahun pertama kita melaksanakan pembinaan Sekolah Menengah Agama baharu di Sabah – bukti komitmen kerajaan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan semua pemimpin agar mengekalkan integriti dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan rakyat.

“Bila ada kuasa, jangan fikir hak diri, isteri atau anak. Gunalah kuasa itu untuk rakyat kerana itu adalah amanah,” katanya.

Program yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta itu melibatkan penjawat awam, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia serta komuniti setempat, dalam usaha memperkukuh pelaksanaan agenda Malaysia MADANI di Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama