![]() |
| Jamawi ketika ditemui selepas pengumuman calon di Kota Kinabalu, hari ini. |
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) , Datuk Jamawi Jaafar, mengesahkan akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Dewan (DU) Sabah N.42 Melalap pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas proses pembahagian kuota kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan hasil rundingan panjang selama hampir tiga bulan.
"Seperti yang dikatakan oleh Datuk Amiruddin, proses mengenal pasti kuota untuk bertanding mengambil masa dua hingga tiga bulan. Selepas itu, proses pemilihan calon juga dibuat dengan sangat teliti," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon di Kota Kinabalu, hari ini.
Jamawi berkata, sepanjang tempoh rundingan itu, beberapa pertemuan diadakan antara pimpinan GRS dan PH bagi memastikan kerjasama politik yang kukuh serta keputusan yang menguntungkan kedua-dua pihak.
"Saya juga dimaklumkan oleh Presiden GRS mengenai perundingan yang berlangsung dua hingga tiga bulan lalu. Akhirnya, keputusan ini merupakan yang terbaik bagi kedua-dua pihak," ujarnya.
Menurutnya, keputusan itu turut selari dengan pendirian Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, sebelum ini menegaskan kerjasama antara GRS dan PH dibentuk bagi memperkukuh kestabilan politik negeri.
“Ketua Menteri sendiri sudah beberapa kali menegaskan bahawa GRS bekerjasama dengan PH tanpa membelakangkan prinsip asal. Ahli di peringkat akar umbi faham bahawa keputusan ini dibuat secara teliti oleh kepimpinan," tambahnya.
Jamawi berkata, reaksi di peringkat akar umbi terhadap pencalonannya amat positif kerana mereka memahami kepentingan kerjasama antara kedua-dua blok kerajaan itu.
Beliau turut menegaskan kawasan Melalap kini memerlukan perhatian serius selepas sekian lama ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan.
"Melalap ini sudah lama tertinggal. Kita ada ADUN, tetapi beliau mempunyai masalah tersendiri. Banyak perjuangan anak muda, wanita dan belia yang belum diberi perhatian," tegasnya.
Jamawi berkata, gabungan kekuatan GRS dan PH akan menjadi pemangkin kepada usaha mempercepatkan pembangunan kawasan luar bandar termasuk Melalap.
"Dengan adanya dua dapur ini, kita boleh mempercepatkan proses pembangunan dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat Melalap," katanya lagi.
