PENAMPANG: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan (DU) Pantai Manis pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, komitmen tugas di peringkat Parlimen serta tanggungjawab dalam parti sudah pun mencukupi, selain mengakui masa yang terhad menjadi faktor beliau tidak mempertimbangkan kerusi DU.
“Saya sudah jawab sebelum ini, lama sudah saya tidak berhajat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri termasuklah Pantai Manis.
“Kalau saya ada 48 jam sehari mungkin saya boleh pertimbangkan, tapi sama seperti semua, saya hanya ada 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program ‘My Gaya Sabah 2025’ di ITCC Penampang, hari ini.
Armizan dalam masa sama berharap GRS dapat meletakkan calon yang mampu bekerjasama rapat dengannya di kawasan Pantai Manis bagi memantapkan lagi gerak kerja kepimpinan di Parlimen Papar.
“Saya mengharapkan seorang ADUN Pantai Manis daripada GRS yang boleh saya bekerjasama rapat.
“Sekarang kita ada ADUN Kawang dan Limau, dan jika ditambah Pantai Manis, insya-Allah kita akan jadi pasukan terbaik untuk membawa perubahan lebih bermakna di Papar,” katanya.
Beliau turut menegaskan tumpuannya kini adalah untuk memastikan GRS terus memperkukuh kepimpinan di kawasan Parlimen Papar dengan kerjasama ADUN yang sehaluan.
