Rekaan fesyen etnik Sabah mampu tarik pelancong luar – Armizan

 

KOTA KINABALU: Keunikan motif dan kepelbagaian etnik dalam rekaan fesyen tempatan menjadikan Sabah berpotensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan berasaskan industri kreatif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program My Gaya Sabah bukan sahaja mempromosikan produk buatan tempatan, malah membuka peluang baharu dalam menjadikan fesyen sebagai sebahagian daripada daya tarikan pelancongan negeri.

“Kita tahu, aktiviti pelancongan adalah jauh lebih tinggi berbanding di negari-negari lain. Jadi dengan adanya industri tekstil, fesyen termasuklah aksesori di Sabah ini boleh kita tingkatkan tahapnya. 

“Maka, dari segi pasaran itu kita boleh memanfaatkan (leverage) pelancong-pelancong yang datang ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berkenaan yang bertempat di ITCC Mall, di sini, hari ini. 

Majlis pelancaran My Gaya Sabah telah disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Faridah Tussin, Isteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah. 

Menurut beliau, program itu merupakan kesinambungan daripada My Gaya Month yang diadakan di Pavilion Bukit Jalil sepanjang Oktober lalu, hasil kerjasama antara KPDN dan Malaysia Bumiputera Designers Association (MBDA). 

“Ia merupakan sebahagian daripada kampen beli barangan Malaysia untuk kita memberikan promosi dan menyediakan platform pasaran dan seterusnya berkomunikasi secara dua hala (networking) di antara mereka yang terlibat dalam ekosistem industri fesyen,” jelasnya. 

Armizan berkata, keunikan motif tradisi dan kreativiti pereka di Sabah perlu diketengahkan sebagai identiti tersendiri yang berpotensi menarik minat pelancong dari luar negara. 

“Kita tahu yang datang ke sini pun daripada Korea, China yang memang agak cakna dengan industri fesyen dan dengan adanya tawaran dengan pakej menarik yang kita boleh tunjukkan di Sabah ini sebabkeunikan di negeri ini, dari setiap motif, kreativiti serta ukiran itu punya penceritaan masing-masing,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, beliau turut menambah laporan daripada Malaysia Bumiputera Designers Association (MBDA) menunjukkan bahawa industri tekstil dan pakaian negara mempunyai prospek pertumbuhan besar dengan nilai pasaran semasa dianggarkan sekitar 3.5 US bilion setahun.

“Menjelang tahun 2030 boleh mencecah hingga hampir 4.47 US billion setahun. Kita melihat, seperti yang saya sebutkan tadi potensi di Sabah ini adalah keberadaan sedia ada, motif-motif yang pelbagai itu perlu ditingkatkan lagi tahap keboleh-pasarannya,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama